Photobucket

Thursday, October 14, 2010

MEMBINA GENERASI CEMERLANG 1


Bismillahirahmannirahim.
Aku termenung di hujung katil. "Ummi"…Anak bongsuku memanggil panggilan yang biasa digunakan dalam masyarakat yang berasal dari perkataan bahasa Arab yang popular di kalangan masyarakat Melayu yang bermaksud ibuku. "Ya Mumtaz ",sahutku. "Bila nak bersiap? Abi dah tunggu kat bawah". " Ummi dah siap Mumtaz, tolong Ummi angkat beg telekung dalam almari kain". "Baik Ummi". Aku  bersyukur, berkat tarbiyah yang kami  (saya dan suami) terapkan dalam keluarga mampu mendidik anak-anak kami menjadi insan yang taat kepada setiap arahan  kami seterusnya melaksanakan segala tuntutan dan perintah Allah. Hal ini bertepatan dengan hadith Rasulullah s.a.w :

و حَدَّثَنِي عَنْ مَالِك عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ كَمَا تُنَاتَجُ الْإِبِلُ مِنْ بَهِيمَةٍ جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّ فِيهَا مِنْ جَدْعَاءَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ الَّذِي يَمُوتُ وَهُوَ صَغِيرٌ قَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ

Bagiku, anak-anak yang telah dianugerahkan kepadaku dan suamiku adalah amanah yang perlu aku jaga sebagai bekalan apabila menghadap illahi kelak. Bagiku, anak-anak yang telah diamanahkan kepadaku dan suamiku adalah tangunggjawab yang aku perlu jaga sebagai bekalan bila aku berjumpa Allah kelak. Antara amalan yang yang mana pahalanya akan sampai kepada pengamalnya walaupun orang tersebut telah meninggal dunia iaitu doa anak yang soleh, sedekah amal jariah dan ilmu yang dimanfaatkan. Aku berkongsi matlamat dengan suamiku untuk membina generasi ulama yang mampu menjadi generasi pembela agama yang menjadi penerus kepada rantai perjuangan Rasulullah.
Aku masih teringat kata-kata nasihat dan pedoman dari salah seorang pensyarahku di universiti dahulu sewaktu aku mengambil Madah Psikologi Agama, yang menjadi madah pilihan  luar  jabatan  iaitu  salah satu madah yang ditawarkan oleh Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam ketika  aku berada di semester kedua tahun yang kedua pengajianku. "Sekarang antum semua sudah di tahun akhir pengajian. Mesti sudah ada yang merancang untuk berkahwin. Jadi sepatutnya antum semua sudah mendoakan anak-anak antum semua untuk menjadi anak yang soleh, kerana sekarang ini anak-anak antum sudah berada dalam alam roh". Semua siswa-siswi yang berada dalam kelas tersebut tersenyum dan ada seorang dua yang sahabat yang telah berkahwin tersipu malu. Disebabkan hanya ada seorang sahaja siswa yang mangambil madah tersebut menyebabkan keadaan tenang. Biasanya bila dibangkitkan isu sebegini, siswa agak aktif dalam memberi respon, sama ada pandangan ataupun sekadar jawapan untuk mengiyakan.
Sejak pensyarahku menimbulkan isu tersebut, aku selalu memikirkan perkara tersebut. Aku memikirkan bahawa segala tingkahlaku aku kini sudah menjadi intaian anak-anakku. Mereka sudah berada di alam roh dan aku sebagai ibu, hendaklah memenuhi tuntutan agama dari sudut psikologi agamanya iaitu mendoakan mereka supaya menjadi anak yang soleh dan solehah. Antara doa yang aku amalkan adalah doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w  yang dipetik dalam al-Qur'an, surah al-Furqan, ayat yang ke-25.
Aku berazam memperbaiki akhlakku, segala sifat-sifat buruk yang melazimi diriku cuba ku elakkan. Perkara-perkara yang agak remah yang agak dilazimi oleh golongan wanita kadang-kala tanpa sedar, contohnya memperkatakan hal orang lain cuba kuelakkan dengan menginsafi kekurangan yang ada pada diriku. Ya, aku perlu menyibukkan diriku dengan memikirkan kekurangan dan kelemahan yang ada agar ruang-ruang tersebut terisi dengan aku mendapat penyelesaian berkenaan kekuranganku iaitu dengan cara bermuhasabah dan menghitung segala amalanku. Adakah amalanku lebih baik daripada amalan orang yang keperkatakan. Jika melihat orang yang baik, aku perlu menanamkan dalam diriku bahawa orang itu baik, dan dengan kebaikannya itu dia akan masuk syurga. Bila bertemu dengan orang yang melakukan amalan kejahatan, mungkin bila Allah membuka pintu hatinya untuk menerima hidayah maka dia akan menjadi orang yang mungkin lebih baik amalannya dari aku, dan lebih kedudukannya di sisi Allah. Astaghfirullah…
Bila berkongsi rasa dengan sahabat-sahabatku berkenaan matlamat hidup, semua ada impian masing-masing terhadap kerjaya dan rumahtangga yang bakal dibina selepas alam kampus. "Selepas habis belajar ni, aku nak terus sambung belajar dan kahwin bila dah dapat Phd" kata  Asiah yang terkenal ulat buku  dan selalu mendapa pngk 4.0 atau 3.8 setiap semester. Hati ini kadang-kadang cemburu dengan prestasi cemerlang Asiah. Tapi kupujuk hatiku, mungkin itu kelebihannya kerana dia tidak begitu aktif dalam berpersatuan berbanding diriku yang agak aktif berpersatuan sehingga kadangkala tidak dapat mengimbangi antara tuntutan belajar dan berpersatuan. Maka aku perlu mengambil inisiatif yang sebaiknya iaitu menyusun semula jadualku dengan sebaiknya agar sesuai dengan keadaanku. Alhamdulillah pada semester berikutnya aku mampu membuktikan aku boleh mencapai kecemerlangan walaupun sibuk berpersatuan.
"Selepas habis belajar ni aku nak kahwin terus, lagipun usiaku dah agak lewat dan aku ingin membina rumahtangga dulu sebelum aku bina kerjaya. Lagipun bakal suamiku dah bekerja". Kata Hamidah sahabatku yang berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bagi yang dah berkahwin pula lebih menumpukan untuk menjadi suri rumah bagi menjaga keperluan anak-anak dan suami. Setiap sahabatku ada perancangan yang tersendiri terhadap kehidupan selepas tamat pengajian di peringkat degree.
Aku pun mempunyai perancangan tersendiri terhadap kehidupanku selepas tamat pengajian di peringkat degree iaitu perancangan jangka panjang dan perancangan jangka pendek. Tapi aku menginsafi, bagaimana indah perancangan kita sebagai manusia, lagi indah perancangan Allah untuk kita. Kerana hakikatnya kehidupan kita adalah diatur oleh pencipta Yang Maha Agung. Aku merancang untuk menyambung pengajianku sehingga ke peringkat master dan phd, dan ingin berkahwin selepas tamat pengajian di peringkat degree. Ada antara sahabat yang terkejut dengan pendirianku. " Ana ingat orang sibuk macam anti tak ada masa nak fikirkan tentang perkahwinan", ungkap salah seorang sahabat baikku.  Aku tersenyum mendengar kata-katanya. Aku tidak salahkan dia terhadap apa yang diperkatakannya, kerana bagiku dia ada falsafah tersendiri terhadap apa yang dia perkatakan. Mungkin dia melihat aku terlalu sibuk dengan berpersatuan dalam masa yang sama  perlu mengimbangi pelajaranku, dan tidak ada masa untuk memikirkan hal ini. Dari satu sudut, sahabatku melihat aku belum ada pasangan tapi merancang untuk berkahwin awal. Agak pelik kedengaran, tetapi itulah hakikatnya. Aku bersyukur kerana tidak diuji perasaan untuk berpasangan di alam persekolahanku sekaligus menjaga amanah ibuku sebelum aku melangkah ke alam menara gading. " Ma harap Fatimah dapat mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, menjaga ahlak sesama kawan-kawan dan menjaga hubungan dengan Allah dan tidak menjalinkan hubungan dengan lelaki kerana itu semua akan melalaikan." Tapi ibuku meletakkan syarat, selepas tamat pengajian degree aku mesti berkahwin. Aku berpegang dengan amanat keramat dari ibuku, walaupun kadangkala hati ini agak tergoda dengan godaan-godaan syaitan untuk meminati lawan jantinaku. Situasi aku aktif dalam persatuan menyebabkan aku banyak bergaul dengan siswi mahupun siswa. Kadang-kala agak terpikat dengan kesolehan, kebaikan, dan kewibawaan beberapa siswa yang pernah berurusan denganku. Tetapi dalam masa yang sama ada sahabat yang menginggatku, sehingga aku tersentak dari kembali berdiri teguh di atas pendirianku.
Aku bersyukur dikurniakan sahabat yang mampu menegurku dengan cara yang paling berhikmah tanpa menyakitkan hatiku. Itu sebenarnya yang aku perlukan dari sahabat, iaitu nasihat yang membina dan mendorong apabila aku menghadapi situasi sebegini, bukannya cemuhan dan cacian yang boleh menyebabkan hati sahabat terluka tetapi tidak memberikan kesan melainkan menimbulkan perpecahan dan masalah dalam ukhwah.   
Pada suatu petang aku balik dari kuliah. Seusai solat Asar aku membuka laptop peribadiku, iaitu hadiah dari abang sulungku sempena kemasukannku ke Universiti Malaya. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan segala kekurangan, iaitu aku berasal dari keluarga yang susah aku mampu mempunyai laptop di awal pengajianku, berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain yang terpaksa meminjam dari kawan dan pergi ke cyber café yang memerlukan kos yang tinggi selain sukar bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan. Aku membuka Mozilla firefox, kerana rumah sewaku ada kemudahan wireless. Aku yakin dengan prinsipku, bila kita bersyukur Allah akan tambah nikmat tersebut. Kutekan gmail lalu kumasukkan email dan password. Ada message baru dalam inbox. Dari Solehah.

CATATAN MINDA "DARI SAHABAT BUAT SAHABAT"
Andai hari ini kita pernah mencintai seseorang kerana apa yang dimilikinya maka kita akan berpotensi untuk kehilangan insan yang kita cintai itu kerana insan itu adalah manusia biasa yang tidak sempurna seperti kita juga.. kecintaan itu akan kekal andai kita bersedia menerima segala kebaikan dan segala keburukan yang dimilikinya. Itu adalah yang terbaik.. kita bersedia untuk menerima kebaikan yang dimilikinya disamping kesediaan kita untuk berhadapan dengan segala kekurangan yang mengisi seluruh dirinya.
Ujian yang Allah kirimkan untuk kita berbeza dan adakalanya kita tidak pernah jangkakan itulah adalah ujian Nya buat kita..kerana kita anggap ia nikmat dan rahmat, tetapi sebenarnya Allah sedang menguji. Andai kita pernah menyintai sesiapa sahaja ingatlah bahawa cinta kita adalah ujian Allah buat kita. Gunakan akal sebaik mungkin untuk berfikir adakah perhubungan itu dapat mematangkan dan mendewasakan kita dari pelbagai sudut kefahaman dan pentafsiran.
Hidup ini akan indah andai hati kita disirami cinta  Ilahi, perindu syurga yang abadi dan pendamba kasih suci… lebih indah jika kecintaan itu mendekatkan lagi hubungan kita dengan Ilahi…
Walau seikhlas mana pun kecintaan itu perlu terpalit rasa bimbang dalam hati kita, sekelumit rasa tidak selesa akan membuatkan kita sentiasa berfikir  disebalik kecintaan kita pada manusia bukan cinta yang kekal untuk selamanya. Hiduplah untuk tidak menyintai sesiapa dan bersedialah dengan ketulusan cinta dan keikhlasan  kerana keikhlasan dan ketulusan itu adalah pengikat ikatan suci cinta manusia yang ingin syahid di jalan Nya.
Sahabatku,
Aku bangga dengan ketulusan cintamu, namun disebalik itu aku bimbang andai langkah mu dalam perjuangan ini adalah kerana insan yang kau cintai itu.. aku bimbang andai insan itu rebah dirimu akan turut sama tersungkur, lalu perjuangan ini akan kehilangan insan hebat seperti dirimu.
Sahabatku, aku jua bangga dengan kecintaanmu pada insan yang kau impi untuk menjadi sayap kiri perjuangannya itu, tetapi hati ku khuatir dirimu akan kecewa setelah harapan yang kau bina dalam diam itu hancur lantaran tidak bersedianya insan itu. Nasihatku yang kau gunakan itu adalah untuk kebaikanmu jua… berhenti dari terus menyintainya…itu adalah yang terbaik.
Catatan minda buat sahabat……..
15 Januari 2009
Akademi Pengajian islam
Universiti Malaya Kuala Lumpur.
AUFA BATRISYIA-MELENGKAPI YANG CERDIK


            Aku terkedu selepas membaca kiriman email dari Solehah. Solehah amat mengerti apa yang terbuku di dalam hatiku. Bingkisan nasihat daripada sahabatku amat terkesan di hatiku. "Ya Allah aku bersyukur terhadap nikmat dan rahmat yang engkau berikan pada hamba-Mu yang hina dan kerdil ini".
            Aku menghitung-hitung diriku. Nasihat Solehah yang dikirim lewat emailnya tadi cuba ku dalami makna yang tersirat disebaliknya.  Mungkin Solehah risau aku terus hanyut dalam perasaanku. Betul kata Solehah, mungkin perasaan cinta ini adalah suatu ujian yang Allah timpakan padaku tanpa aku sedari.   Astaghfirullah….Lantaran kesolehannya, tidak boleh dijadikan alasan untuk aku jatuh hati padanya.
            Kucuba untuk menepis segala persoalan yang berkaitan soal hati dan perasaanku terhadap lelaki soleh tersebut. Jika aku mencintainya sekalipun, belum tentu dia adalah jodoh yang ditetapkan oleh Allah s.w.t untukku. Harapan hanya aku sandarkan kepada Allah s.w.t. Aku berdoa pada Allah s.w.t agar hatiku dijaga daripada menyintai sesiapa yang belum menjadi muhrimku dan mengurniakan aku pasangan hidup yang sekufu, yang sama-sama ingin berjuang untuk mencapai keredhaan-Mu di dunia dan akhirat. Moga-moga Allah mentakdirkan segala yang terbaik untukku walau apa pun keadaan sekalipun.
            Banyak perkara yang perlu difikirkan untuk masa hadapan. Tanggungjawab pada ibu dan ayah belum terbalas. Aku mesti menjadi anak yang solehah, yang bisa mendoakan kesejahteraan ibu dan ayahku. Aku mesti Berjaya dalam pelajaranku untuk membahagiakan hati kedua ibu dan ayahku. Aku mesti mengamalkan segala ilmu yang akau pelajari dan menunaikan amanah untuk menyampaikannya kepada orang lain. Amalan-amalan perlu dipertingkatkan, kerana bekalan untuk hari akhirat itu amat penting kerana kita tidak tahu bilakah Allah akan mengambil nyawa kita.  


No comments:

Post a Comment