Photobucket

Thursday, October 7, 2010

Cabaran Abad 21

Dalam mendepani arus globalisasi yang semakin mencabar, timbul beberapa perkara baru yang tidak hanya bermain di sekitar aspek luaran kehidupan manusia dan material bahkan semakin mendominasi aspek akal, pemikiran dan tingkah laku serta dalam tasawur bagi ketuhanan, juga dalam alam semesta mahu pun kehidupan. Hal ini berlaku menerusi dua dimensi iaitu yang bersifat internal dan external. Massa menyaksikan kemunculan pelbagai aliran yang bertopengkan Islam, yang tidak lain hanyalah untuk menghancurkan Islam itu sendiri. Keadaan ini menyebabkan umat Islam telah terpesong daripada landasan yang sebenar dan menjauhkan daripada hubungan yang sebenarnya dengan Allah S.W.T.
Secara realitinya, setiap permasalahan yang timbul kini telah  bertitik tolak dari kelemahan umat Islam sendiri yang sudah tidak meletakkan autoriti al-Qur’an dan al-Hadith sebagai perlembagaan tertinggi yang memandu kehidupan. Al-Quran adalah kalam Allah dan al-Sunnah merupakan sumber yang autoritatif menjadi rujukan utama yang mampu menangani segala masalah yang dihadapi makhluk Allah dalam sebarang kondisi. Sesungguhnya jarak masa yang jauh antara zaman Rasulullah S.A.W dengan kita telah menjadikan manusia semakin jauh dari inti pati al-Qur’an dan al-Hadith Maka menjadi kewajipan utama umat Islam hari ini untuk kembali kepada dua manhaj utama yang harus dipegang umat Islam, iaitu al-Qur’an dan al-Hadith.
Aliran Islam Liberal wujud hampir di mana jua. Nama mereka mungkin berbeza-beza, bahkan mungkin tindak dikenali dengan nama tertentu. Akan tetapi manhaj mereka tetap sama iaitu membuka dan membebaskan tafsiran Islam demi mencapai kejayaan ala kebaratan. Apabila menyebut tentang tokoh-tokoh aliran Islam Liberal, terdapat satu kesamaan di antara mereka semua – iaitu mereka pernah mendapat didikan di negara Barat dan/atau pernah berkhidmat di mana-mana institusi pengajian Barat. Pengalaman ini menyebabkan mereka amat cenderung kepada apa sahaja yang berasal dari Barat tanpa memisahkan antara yang baik dan salah.
Di antara tokoh-tokoh aliran ini yang masyhur di Timur Tengah adalah Rifa‘at Bik al-Thantawi, Thaha Husein, Ali ‘Abd al-Raziq, Mahmud Abu Rayya, Ahmad Amin, Hasan Hanafi, Farag Foudah, Naser Abu Zaid, ‘Athif al-Iraqi, Nawwal al-Sa’dawi dan sebagainya. Pendapat tokoh-tokoh aliran Islam Liberal di atas banyak yang telah dijawab dan ditolak oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di Timur Tengah, bahkan sebahagian daripada mereka telah ditarik balik ijazah kelulusan oleh universiti-universiti tempat asal pengajian mereka. Tokoh-tokoh ini melahirkan banyak anak murid tersendiri yang bergiat aktif menyebarkan dakyah Islam Liberal sehingga hari ini. Tidak kurang juga adalah tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang bangun menjawab dan menolak mereka. Antara yang aktif ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, semoga Allah memeliharanya, di mana antara lain beliau pernah menulis:
“Di antara masalah paling penting yang sering saya peringatkan dalam beberapa buku yang saya tulis adalah berkenaan usaha musuh-musuh pemikiran Islam yang menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamaat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini (yaqiniat) kebenarannya dan pasti menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan hipotetif (zhanniaat), serta hal-hal yang pasti dan kuat (qath'iat) menjadi tidak pasti dan mengandung pelbagai kemungkinan (muhtamalaat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas, dan dapat mengikuti pendapat kanan-kiri.

Sudah menjadi kejayaan yang amat besar jika mereka mampu menggoncang ajaran-ajaran agama yang tsabit lagi muktamad atau menyerangnya agar dapat dilenyapkan sehingga tidak menjadi sesuatu yang menghalang mereka saat mereka ingin menghancurkan benteng umat Islam atau setidaknya, menerobos pagarnya.

Pada zaman sekarang ini kita dapati ada orang yang meragukan keharaman khamar atau riba, atau tentang bolehnya talak dan berpoligami dengan syarat-syaratnya. Ada yang meragukan keabsahan Sunnah Nabi s.aaw. sebagai sumber hukum.  Bahkan, ada yang mengajak kita untuk membuang seluruh ilmu-ilmu Al-Qur'an (Ulumul-Qur'an) dan seluruh warisan ilmu pengetahuan al-Qur'an kita ke tong sampah, lalu kemudian memulai membaca al-Qur'an dari nol dengan bacaan kontemporer dengan tidak terikat oleh suatu ikatan apa pun, tidak berpegang pada ilmu pengetahuan sebelumnya, juga tidak dengan kaidah dan aturan yang ditetapkan oleh ulama umat Islam semenjak berabad-berabad silam.

Di antara pendapat mereka adalah bahawa kalangan Ahli Kitab: Yahudi dan Nasrani, bukanlah kelompok kafir.  Jika yang mereka maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani bukan kalangan ateis yang mengingkari Tuhan dan wahyu, tentu hal itu benar dan tidak dipertentangkan lagi. Namun jika yang mereka maksudkan itu adalah bahwa mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak kafir terhadap agama Muhammad dan risalahnya serta al-Qur'an dan penyifatan kafir yang disematkan kepada mereka itu adalah dengan pengertian seperti ini, tentu klaim seperti itu adalah salah.

Kekafiran Yahudi dan Nasrani adalah sesuatu yang amat jelas terlihat bagi individu muslim yang memiliki ilmu keislaman, walaupun hanya sebesar atom. Hal ini juga sesuatu yang disepakati oleh seluruh umat Islam dari seluruh mazhab dan aliran pemikiran sepanjang masa, baik kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Syi‘ah, Mu’tazilah dan Khawarij. Demikian juga dengan seluruh aliran umat Islam yang ada pada saat ini: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, Zaidiyyah, Ja’fariyyah dan Ibadaniyyah, seluruhnya tidak meragui kekafiran Yahudi dan Nasrani serta orang-orang yang tidak mengimani risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam. Hal ini merupakan sesuatu yang sudah pasti kebenarannya, baik secara teori maupun praktikal.”




[1]             Hammad Hasan Ruqait (), Zulkifli Hj Mohd Yusoff, Amin Maulana Maksum, Isu-isu Semasa dari Perspektif Islam.
[2] [lebih lanjut rujuk buku Pembaruan Islam dan Orientalisme dalam Sorotan oleh Dr. Daud Rasyid (Akbar Media, Jakarta 2002), ms. 20-45]

[3]               [Mauqif al-Islam al-‘Aqdi min Kufr al-Yahud wa al-Nashara, edisi terjemahan Indonesia atas judul Bagaimana Islam Menilai Yahudi dan Nasrani (Gema Insani, Jakarta 2000), ms. 11-13]

No comments:

Post a Comment