Photobucket

Sunday, October 16, 2011

Bingkisan buat Sang Mujahidah






Salam mujahidah buat sahabat yang dicintai kerana Allah, ketahuilah bingkisan ini ditulis dengan dakwat rindu dan sayang. 


Berhati-hati  menjaga hati. Kerana hati tempat jatuhnya pandangan Ilahi.


Berpeganglah pada kompas al-Qur'an yang paling accurate dan GPS as-Sunnah Nabi yang paling jelas sebagai pedoman perjalanan.


Jadikan dirimu ibarat coklat emas dalam bungkusan terbaik. Takkan pernah expired kecuali diri telah syahid di jalan Allah.


Tetap manis menutur kata, mahal harga pendirian, tetap terpelihara menjaga aurat.


MUJAHIDAH...Perjuangan Da'ie adalah lelah, hanya mangharap RnR dia akhirat kelak.


Bajetkan waktu untuk berdating dengan Allah di dua pertiga malam. Moga bisa menjadi modal kebal menahan ujian.


Kreditkan waktu walau seketika, menimba ilmu makrifat tentangNya. Agar diri bertambah takut dengan murkaNya tapi tetap berani dengan rahmatNya.



Friday, August 19, 2011

Duniaku SRI Al-Hafidz

INDAHNYA PERIBADI DIHIASI AHKLAK AL-QUR'AN



18 Ogos 2011, saya kembali menunaikan kewajipan saya di SRI Al-Hafidz setelah berasa di semenanjung selama hampir 2 minggu atas beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Mudir memberikan beberapa tugas iaitu kelas al-Qur'an, buat artikel dalam blog sekolah, dan menbuat draf kajian jadual waktu sekolah/ modul berdasarkan kajian al-Qur'an dan kajian saintifik. Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan satu artikel yang dimasukkan dalam blog sekolah di http://www.sri.alhafidz.abqarie.com/ 

UJIAN BULANAN VS UJIAN RAMADHAN

Minggu ini dan minggu hadapan adalah minggu ujian bulanan bagi para pelajar SRI Al-Hafidz, seperti yang dimaklumkan dalam post sebelum ini. Para pelajar menjalani jadual pembelajaran seperti biasa pada waktu pagi iaitu dimulai dengan zikir dan ulangan hafalan al-Qur’an seterusnya kelas hafalan al-Qur’an yang dibimbing oleh beberapa tenaga pengajar yang dibahagikan mengikut tahap penguasaan terhadap bacaan al-Qur’an. Para pelajar akan mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa dan menduduki ujian bulanan pada mengikut jadual yang ditetapkan. Soalan-soalan ujian telah digubal dan disediakan oleh penggubal kurikulum dan sukatan pelajaran serta guru-guru yang  mengajar setiap mata pelajaran.

Sempena bulan Ramadhan yang kian berada di penghujung fasa kedua, penulis cuba untuk membandingkan ujian yang dihadapi oleh para pelajar dengan ujian Tarbiyyah dalam bulan Ramadhan walaupun amat besar jurang perbezaan antara keduanya. Namun menurut hemat penulis, kedua-dua ujian ini mempunyai persamaan dari sudut terdapat beberapa objektif yang perlu dicapai setelah melalui kedua-dua ujian ini, khususnya bagi para pelajar SRI Al-Hafidz yang mana menjalani kedua-dua ujian ini dalam masa yang sama.

Dalam konteks pendidikan di Malaysia kebanyakan ujian bilik darjah adalah berbentuk pencapaian iaitu ujian untuk menentukan setakat mana murid telah menguasai apa yang telah diajar. Oleh itu ujian mestilah bersifat ‘representative’  kurikulum sekolah. Maka setelah selesai menjalani ujian ini, tahap penguasaan para pelajar akan dapat ditentukan sama ada mencapai tahap yang memuaskan atau tidak.

Manakala bagi ujian Tarbiyyah Ramadhan pula, para pelajar SRI Al-Hafidz digalakkan untuk berpuasa, iaitu sesiapa yang berjaya menghabiskan Ramadhan dengan puasa penuh akan mendapat ganjaran dari pihak sekolah selain para pelajar diajarkan akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. Walaupun kaedah ini, lebih menekankan soal materialistik, namun secara psikologinya ia amat berguna bagi para pelajar untuk melatih dan membiasakan mereka untuk melaksanakan tuntutan ibadah ini setelah sampai waktu yang wajib untuk mereka melaksanakannya kelak. 

Para pelajar tetap bersemangat untuk menjalani ibadah puasa ini walaupun tampak keletihan di wajah masing-masing. Jika terdapat pelajar yang sudah tidak tahan atau rasa macam hendak pitam, maka diizinkan untuk berbuka kerana mereka belum sampai tahap wajib untuk berpuasa. Sekurang-kurangnya mereka mereka boleh belajar, walaupun masih belum lengkap ibadah yang merekan jalankan.

Sesungguhnya Madrasah Ramadhan ini merupakan model tarbiyyah lengkap untuk mendidik manusia menjadi manusia yang bertakwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:
183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Besar harapan daripada pihak sekolah agar para pelajar mendapat manfaat yang besar hasil daripada dua ujian yang ditempuh dalam bulan Ramadhan ini. Semoga ia mampu membentuk dan melentur jiwa tunas-tunas muda yang telah tertanam ilmu al-Qur’an sejak umur rebung agar dapat menjadikan pakaian Taqwa sebagai hiasan diri yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Anak-anak punyai potensi untuk dibangunkan. Mulakan proses mendidik seawal mugkin. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Menjana Insan bertaqwa dunia dan akhirat




Thursday, August 4, 2011

KERTAS KERJA YANG DIBENTANGKAN DALAM SEMINAR MUSNAD

PENGAJIAN HADITH DI SABAH : SUATU SOROTAN

Selamat Bin Amir
Irna Wati Binti Amusin
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

ABSTRAK
Pengajian hadith adalah cukup sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana ianya telah bertapak sejak dari era Syeikh Nuruddin al-Raniri lagi. Anotasi ini wajar diutarakan setelah melihat usaha para ulama terkemudian di Tanah Melayu  seperti Hj Yaakub Gajah Mati, Haji Awang Beta dan Hj Saleh Pedada dan ramai lagi yang berusaha dalam mengavaluasikan ilmu hadith dikalangan umat Islam pada ketika itu. Senario ini terus berkembang sehinggalah pada saat ini, namun obsesi untuk mendalami ilmu hadith sebagai sumber yang absah dikalangan umat Islam khususnya di kepulauan Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak serancak di Semenanjung Malaysia. Justeru makalah ini akan menyoroti dan menyingkapi sejarah dan aktiviti pengajian hadith khasnya di Negeri Sabah dengan melihat aspek perkembangan semasa, faktor-faktor perkembangan, institusi dan juga tokoh yang berperanan dalam usaha memperkembangkan ilmu hadith agar ianya menjadi insiprator dikalangan para sarjanawan mahupun para dai’e dalam mengembangkan dan meletakkan indoktrinasi Rasulullah s.a.w sebagai uswatun hasanah yang universal dalam setiap aspek kehidupan.

1.0 PENGENALAN

Sunnah Nabawiah adalah merupakan sumber yang kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran al-Karim. Hal ini telah disepakati oleh para ulama awwaliin, mutaakhirin mahupun ulama pada zaman kini. Hal ini juga dapat dilihat apabila para ulama dikalangan fuqaha’ dari kalangan sahabat akan menjadikan hadith Rasulullah s.a.w sebagai sumber rujukan yang utama dalam menetapkan sesuatu hukum. Hal ini dapat dilihat ketika mana Abu Bakar  al-Siddiq ingin menetapkan sesuatu hukum, beliau akan merujuk al-Quran dan sekiranya beliau tidak dapat menetapkan sesuatu hukum berpandukan al-Quran maka al-Hadith Rasulullah s.a.w akan dijadikan sebagai panduannya. Justeru dapat dijelaskan fungsi al-Sunnah terhadap al-Quran antara lainnya ialah menerangkan nas-nas al-Quran yang kurang jelas, mentaqyidkan yang mutlaq dan mengkhususkan nas-nas al-Quran yang umum, memperkuatkan hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran agar lebih mudah difahami seterusnya membina dan membuat sesuatu hukum dengan berpaksikan al-Quran al-Karim sebagai sumber yang paling berautoriti. Justeru wajar dikatakan bawasanya umat Islam tidak akan dapat memahami apatah lagi menginterpretasikan Islam secara kaafah dalm konteks kehidupan sekiranya tidak berpandukan sunnah atau hadith.

Allah berfirman:
            
Terjemahan : Maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk
                                                                                 Surah al-A’raf, (7) : 158
Kalamullah di atas jelas menunjukkan bahawasanya tunjang utama untuk memperolehi hidayah Allah s.w.t adalah dengan menjadikan Rasulullah sebagai tauladan utama dalam setiap ceruk kehidupan. Hal ini diperkuatkan lagi oleh Dr. Yusoff al-Qardhawi dalam tulisannya menyebut ;

“sepertimana kita maklumi bahawasanya Rasulullah s.a.w adalah merupakan pentafsir al-Quran, sebagai bukti sepertimana yang telah diungkapkan oleh Aisyah r.a apabila ditanya tentang akhlak Nabi maka beliau menjawab; Sesungguhnya akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran. Justeru sekiranya kita ingin mengetahui dengan lebih lanjut manhaj ilmu Islam, maka sewajarnya kita mengetahui secara tuntas sunnah nabawiyah samada dari prospek qauliyyah, fe’liyyah dan juga taqririyyah.”
Justeru itu sebagai umat Islam haruslah meletakkan Sunnah Nabawiyyah sebagai rujukan yang utama selepas al-Quran al-Karim dalam setiap aspek kehidupan. Kepentingan merujuk kepada al-Sunnah atau al-Hadith adalah bertujuan untuk mengelakkan umat Islam khususnya agar tidak terjerumus ke lembah penyelewengan mahupun kesesatan. Selain itu, penghayatan terhadap sunnah juga mampu membawa manusia untuk berfikir melalui pendekatan al-Quran daripada bentuk pemikiran yang salah seperti pemikiran yang diselubungi khurafat, taqlidi, dusta serta mengikut hawa nafsu semata. Hal ini kerana sejarah telah membuktikan bagaimana wujudnya individu mahupun kelompok yang tidak memperakui sunnah Rasulullah s.a.w, lebih buruk lagi kebobrokan golongan ini terserlah apabila mereka menghasilkan hadith-hadith palsu bertujuan untuk kepentingan diri sendiri ataupun untuk menjatuhkan martabat Islam. Padahal Allah telah berfirman dalam Surah al-Syura ayat 7:

Maksudnya : . Dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya).
Ayat di atas telah menjelaskan kepada umat Islam agar mengimani setiap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan setiap perbuatan atau percakapan yang menunjukkan ingkar terhadap sunnah Rasulullah s.a.w adalah kufur. Oleh yang demikian penerapan ilmu Islam yang absah haruslah dimulakan dari akar umbi agar setiap amalan yang dilakukan benar-benar berlandaskan syariat Islam untuk melahirkan masyarakat yang konfrehensif, dan bukannya umat Islam yang hanya meletakkan ajaran Islam itu sebagai sub-sistem sosial budaya sahaja.
         
Justeru penulisan makalah ini dilakukan adalah bertujuan menyoroti sejauh mana perkembangan hadith dikalangan masyarakat Islam di Negeri Sabah. Hal ini pada hemat penulis adalah sangat penting kerana kita tidak ingin melihat sebuah masyarakat yang maju dari aspek materialistik tapi mundur dari aspek habl minallah wa habl minannas. Penulis juga berharap makalah ini dapat merungkai permasalahan yang berlaku khasnya dalam perkembangan pengajian hadith di Sabah.

  2.0 PENGAJIAN HADITH DI MALAYSIA
                
Pengajian hadith adalah merupakan satu anotasi yang cukup sinonim di Malaysia. Perkembangan pengajian hadith di Malaysia telah pun bermula sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu semenjak lima kurun yang lalu. Apabila Islam mula bertapak dan berkembang secara tidak langsung memangkin perkembangan dan penyebaran pengajian hadith di Malaysia. Walaupun pada awalnya perkembangan pengajian mahupun penulisan hadith agak perlahan sekitar kurun ke-19 dan awal 20-an berbanding disiplin ilmu lain seperti dalam bidang Tauhid, Fiqh dan Tasawwuf, ini tidak menghalang hadith-hadith Nabi s.a.w untuk berkembang dan tersebar. Buktinya dapat dilihat apabila usaha ulama seperti Syeikh Wan Ali Abdul Rahman al-Kalantani dan Tok Khurasan mempergiatkan lagi usaha pengajian hadith di Malaysia.

2.1 PENGAJIAN HADITH DI INSTITUSI FORMAL DAN NON FORMAL
                        
Kedatangan Islam sebagai al-din membawa satu perubahan yang dinamis terhadap masyarakat di Malaysia khususnya. Penyebaran Islam secara meluas pada abad ke-14 M dan abad ke-15 M sehingga abad ke-20 M mempunyai beberapa implikasi. Perkembangan dakwah Islam yang seiring dengan budaya ilmu mencetuskan revolusi terhadap cara hidup masyarakat tempatan. Sistem pendidikan yang pada awalnya terdiri daripada sistem yang berbentuk non formal seperti di pondok-pondok, masjid dan surau serta di kediaman ulama-ulama mula diadaptasi selaras dengan revolusi sosialisme masyarakat tempatan serta evaluasi kepada sistem pendidikan yang lebih autoritatif. Situasi ini dapat dilihat dikebanyakan institusi pengajian yang telah melalui proses pendemokrasian seperti di institusi pondok-pondok moden yang mula meyelaraskan sistem pembelajaran berdasarkan tahap-tahap yang telah ditetapkan.
            
Jika pada awalnya, kitab-kitab seperti Matn al-Arba’in oleh Imam Nawawi, Bulugh al-Maram oleh Ibnu Hajar serta Riyadh al-Salihin oleh Imam Nawawi menjadi pilihan utama dalam pembelajaran hadith, namun kini situasi ini telah berubah. Pada hemat penulis, walaupun masih wujud institusi yang mengekalkan metode ini, akan tetapi anjakan hasil perkembangan ilmu pengetahuan dikalangan para ulama dan sarjanawan telah menghasilkan satu sistem yang lebih teratur iaitu pembelajaran hadith mengikut tahap-tahap yang telah ditetapkan. Sebagai contoh institusi pengajian tinggi seperti di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur, telah memperkenalkan subjek-subjek khusus dalam mendalami ilmu hadith bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda, antaranya ialah Manahij Muhaddithin, Kajian Bibliografi Hadith, Dirasat al-Asanid, al-Jarh wa al-Ta’dil, Hadith dan Isu Semasa, Kajian Teks Hadith, Takhrij al-Hadith, Ahadith al-Ahkam. Situasi ini juga dapat dilihat di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia, Fakulti al-Quran dan al-Sunnah Universiti Islam Sains Malaysia, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah di Fakulti Ilmu Wahyu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. 
             
Penerapan pengajian hadith yang lebih teratur membolehkan para penuntut untuk lebih memahami disiplin ilmu hadith dengan lebih baik berbanding sistem yang tidak teratur. Justeru hal ini bukan sahaja mentransformasikan sistem sedia ada, sebaliknya mampu melahirkan delegasi masyarakat yang responsif dan korektif dalam apa jua bidang sekalipun khususnya dalam memahami Islam sebagai agama yang universal. Dapat disimpulkan bahawa pengajian hadith di Malaysia sejak dari kurun ke-17 M sehingga kurun ke-20 Masihi lebih tertumpu di Tanah Melayu atau di Semenanjung Malaysia. Adapun perkembangan pengajian hadith di Kepulauan Borneo khasnya di Sabah agak perlahan walaupun tidak dinafikan wujud institusi, persatuan dan individu yang memainkan peranan untuk mengembangkan ilmu ini dikalangan masyarakat. Justeru pada bahagian yang seterusnya penulis akan cuba untuk menguak prospek pengajian hadith di Sabah untuk melihat perkembangan sebenar pengajian hadith di Negeri Bawah bayu ini.

3.0 PENGAJIAN HADITH DI SABAH

3.1 Pengenalan Ringkas Negeri Sabah

Sabah adalah merupakan sebuah negeri yang terletak di bahagian utara Kepulauan Borneo  dan merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak. Ianya meliputi kawasan seluas 72,500 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 1,440 kilometer dengan Laut Cina Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di sebelah timur laut dan Laut Celebes di sebelah selatan. Sabah juga dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu' kerana kedudukan negeri tersebut yang berada di bahagian luar dan selatan zon ribut.

Sabah memang cukup sinonim dengan penduduk berbilang kaum. Masyarakat aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 suku kaum yang  menggunakan lebih daripada 50 bahasa dan tidak kurang daripada 80 dialek. Kumpulan etnik yang utama adalah: Kadazandusun (merupakan satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah), Murut, Paitan, dan Bajau. Kumpulan penduduk asli yang lain termasuk Bonggi, Iranun, Ida'an dan Brunei. Sebagai tambahan, kaum Cina merupakan kumpulan penduduk bukan asli yang terbesar. Dengan itu, Sabah adalah kaya dengan penduduk berbagai-bagai kaum dengan latarbelakang kebudayaan masing-masing. Berdasarkan kepada jumpaan arkeologi, Sabah telah diduduki oleh penghuni sekurang-kurangnya 28,000 tahun yang lalu. Islam mula menjejakkan kaki di Sabah menjelang akhir abad ke-10 melalui pedagang Arab dan India dan juga hasil dari pengembangan kerajaan Kesultanan Melayu Brunei.

Orang-orang Eropah datang ke Sabah dua abad kemudiannya. Dalam 1775, Syarikat Hindia-Timur British membuka tempat perdagangan di Pulau Balembangan. Bagaimanapun, Sabah telah ditadbir dengan jayanya oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dari 1881 hingga 1942 apabila tentera Jepun menduduki negeri ini. Selepas kehancuran akibat peperangan, Sabah jadi jajahan British sehingga 31 Ogos 1963 apabila ia mencapai pemerintahan sendiri dari pihak British. Pada 16 September 1963, Sabah bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi Persekutuan Malaysia.

3.2 Kedatangan Islam Di Sabah

Pada dasarnya, sejarah kedatangan Islam di Sabah mempengaruhi historis perkembangan pengajian hadith di Sabah. Jika dilihat melalui lipatan sejarah lampau, didapati bahawa Islam mula bertapak di Sabah sejak abad ke-10 Masehi lagi berdasarkan kegiatan perdagangan antara orang Arab dan Cina. Walaupun ada yang berpendapat Islam mula bertapak sejak abad ke-7 Masihi berdasarkan penemuan batu nisan oleh orang Islam tempatan di Bud Dato, Jolo yang bertarikh 1310 M, dan teryata tarikh ini adalah lebih awal dari kedatangan Syarif Awliya al-Makhdum iaitu ulama yang dipercayai membawa Islam kepada pendakwah-pendakwah tempatan di kepulauan Sulu pada 1380 M yang akhirnya merebak ke Pantai Timur Sabah.

Walau bagaimanapun, sumber yang absah yang menyatakan berkenaan penerimaan Islam dikalangan penduduk tempatan Sabah ialah pada kurun ke-15 M. apabila seorang keturunan suku kaum Idahan bernama Abdullah yang tinggal di daerah Lahad Datu telah memeluk Islam pada tahun 1408 M melalui al-Makhdum. Ini adalah berdasarkan kepada penemuan tulisan tangan sebuah dokumen setebal 140 muka surat dalam tulisan Jawi dan berbahasa Idahan di Kampung Sepagaya Lahad Datu. Antara lain isi kandungannya ialah mengenai ajaran Islam termasuklah cara-cara sembahyang dan sebagainya.  Kesimpulannya walaupun pelbagai fakta berkenaan kedatangan Islam di Sabah, namun penerimaan Islam oleh penduduk pribumi Sabah hanya bermula pada awal abad ke- 15 dan bermula dari abad ini aktiviti pembelajaran mahupun pengajaran non formal ilmu-ilmu Islam mula diterapkan seperti ilmu pengajian al-Quran, Fiqh, Tauhid dan pengajian Hadith.

3.3 Perkembangan Dakwah Islam Mempengaruhi Perkembangan Pengajian Hadith Di Sabah
                        
Sorotan sejarah memperlihatkan bahawasanya perkembangan dakwah yang pesat dikalangan anak  watan Sabah jelas mempengaruhi perkembangan pengajian Hadith di negeri ini. Kesedaran berpersatuan dalam agenda mempertahankan dan serta menyebarluaskan dakwah Islam dikalangan orang Islam di sabah bermula pada abad ke-20 yang pertama, iaitu ketika masyarakat Islam menghadapi masalah sosial akibat pengaruh Hedonisme yang menular dikalangan umat Islam yang memberikan tampak negatif pada ketika itu.
              
Untuk melihat dengan lebih jelas lagi bagaimana situasi perkembangan pengajian hadith di Sabah, penulis telah membuat periode terminologi perkembangan dakwah yang membawa kesan secara tidak langsung kepada perkembangan pengajian Hadith di negeri ini. Terminologi ini terbahagi kepada beberapa tahap iaitu perkembangan Islam sebelum merdeka sehinggalah pada saat ini.

3.3.1 Periode Pertama ( Pengajian Hadith Sebelum Merdeka )
                    
Sebelum Sabah mencapai kemerdekaan, catatan sejarah tidak menemui institusi ataupun ulama yang berperanan dalam pengajaran mahupun penulisan hadith secara khusus di negeri ini, ini kerana sejak dari era pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British ( The British North Borneo Chartered Company) sekitar tahun 1881- 1940 yang mengamalkan sistem sekular khususnya dalam sistem pendidikan serta diskriminasi terhadap masyarakat Islam di Sabah dalam segenap aspek.

Hal ini juga berlanjutan ketika Jepun menjajah Sabah pada tahun 1941-1945 dan era pemerintahan Koloni British pada tahun 1945-1963. Namun  di atas kesedaran yang mendesak ditambah dengan lagi dengan keadaan negara-negara sekitar Sabah ketika itu yang menuntut kemerdekaan seperti Indonesia, Malaya, Singapura dan Brunei, timbul kesedaran dikalangan orang Islam di negeri ini untuk menuntut kemerdekaan dan seterusnya mendaulatkan ajaran Islam, hasilnya tertubuhnya beberapa persatuan antaranya  Persatuan Sahabat Pena Malaya, Parti Barisan Pemuda (BARIP), Parti Kebangsaan Melayu (PKM), Persatuan Khairat Jumaat Muslimin (KJM) dan Persatuan Ikhwan Sabah. Akan tetapi hasil daripada penelitian penulis, tidak ditemui sebarang maklumat samada pimpinan mahupun ahli pertubuhan ini menulis dan mempelajari hadith secara khusus tentang ilmu hadith. Hal ini turut diakui oleh Dr. Saini Damit hasil temuramah penulis dengan beliau berkenaan isu ini.   
            
Namun menurut Prof. Sarim Hj Mustajab, telah wujud sebilangan ulama dan pendakwah yang bukan sahaja berperanan menyebarkan dakwah malah mengajarkan ilmu-ilmu Islam antaranya ilmu Hadith secara tidak langsung melalui ceramah-ceramah dan kelas-kelas pengajian mereka antaranya ialah :

        i.            Tuanku Said Muhammad Ibni Tuanku said Muhammad Shahbuddin
      ii.            Imam Yaakub Haji Ali
    iii.            Imam Haji Suhaili Haji Yaakub
    iv.            Imam Haji Salleh Tuaran
      v.            Imam Haji Jukarani
                     
Selain itu juga kemunculan beberapa pendakwah yang memainkan peranan dalam memperkenalkan dan mengembangkan ilmu hadith secara tidak langusung seperti Datu Agasi dari Sulu, Haji Syah dari Tanah Jawa, hasan Kubro dari Semenanjung Arab dan Muhammad dari Pakistan.

Secara kesimpulannya, pengajian Hadith pada periode pertama ini memperlihatkan bahawasanya masih belum wujud institut mahupun tokoh dalam bidang hadith, sebaliknya para ulama dan pendakwah pada periode ini lebih fokus terhadap pembelajaran Islam secara umum serta memperjuangkan hak dalam menuntut kemerdekaan dan berjuang menangani gerakan Kristianisasi yang semakin menular pada ketika itu.

3.3.2 Periode Kedua ( Pengajian Hadith Selepas Merdeka )
                
Periode ini bermula pada tahun 1963-1990 iaitu selepas Sabah mencapai kemerdekaan melalui penggabungan dengan Tanah Melayu. Berikutan pesatnya pengaruh dalam mengembangkan ajaran Islam di Sabah lebih-lebih lagi apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dalam artikel 3 (1) yang memperuntukkan Islam adalah sebagai agama rasmi Persekutuan termasuklah Negeri Sabah, merancakkan lagi perkembangan ilmu pengajian Islam umumnya dan pengajian hadith khasnya di Sabah. 

Hal ini dapat dilihat dengan tertubuhnya tiga persatuan yang utama iaitu Persatuan Islam Tawau (P.I.T) yang ditubuhkan pada tahun 1955 oleh O.K.K Haji Zainal Kerahu. Manakala Persatuan Islam Putatan (P.I.P) pula ditubuhkan pada tahun 1959 oleh Ustaz Haji Awang Sahari Abdul latif dan Persatuan Islam Sabah (P.I.S) yang ditubuhkan pada tahun 1960 oleh Datuk Haji Mohd Kassim Hj Hashim.

Melalui maklumat yang diperolehi hasil daripada temuramah bersama al-Fadhil Ustaz Suharto Soekarno, beliau mengatakan bahawasanya pada periode ini, masih belum wujud pengajian mahupun subjek hadith secara spesifikasi sepertimana pada periode pertama, namun pembelajaran secara tidak formal dalam ilmu hadith telah pun wujud secara tidak langusung dalam kuliah-kuliah pengajian seperti dalam kuliah maghrib, penerbitan risalah-risalah, perjumpaan-perjumpaan para pendakwah dengan masyarakat setempat serta dalam majlis-majlis ilmu seperti sambutan Maulidurrasul, Awal Muharram dan Isra’ Mi’raj khususnya yang diadakan melalui tiga persatuan yang utama ketika itu (P.I.T, P.I.P dan P.I.S).

Menurut beliau lagi, diantara kitab hadith yang paling popular pada periode kedua ini ialah terjemahan Kitab Matn al-Arba’in karya Imam al-Nawawi. Kitab ini popular disebabkan hadith-hadith yang dimuatkan tidak terlalu panjang dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan serta bersifat acquired knowledgement. Tambahan lagi kefahaman dan minat masyarakat Islam pada ketika itu khasnya dalam ilmu hadith sangat rendah.

Selain itu juga, gerakan para ulama dan pendakwah di kawasan pedalaman Sabah seperti Haji Zaini Palembang di Kota Belud, Haji Kandalis dan Haji Roman di Ranau, Haji Saleh di Tuaran, Imam Jikrani dan Mandor Asa di Kunak, Imam Salim Puado di Tawau, Pangeran haji Umar Pangeran Sharifuddin di Sipitang, Imam Haji Saleh di Tuaran dan Haji Gulam Hassan @ Haji Muda di Lahad Datu mengembangkan lagi ajaran hadith dikalangan masyarakat tempatan. Namun sehingga kini maklumat berkaitan kitab yang menjadi sumber pengajaran masih belum ditemui disebabkan masyarakat pada ketika ini diberikan pendedahan ilmu secara naqal dan ingatan.

Melihat kedudukan dan nuansa Islam yang memerlukan anjakan untuk bertindak dengan lebih proaktif dalam multi dimensi, ketiga-tiga persatuan ini bersatu di bawah satu pertubuhan Islam yang dikenali sebagai United Islamic Sabah Association (USIA) pada tahun 1968 yang diketua oleh YB Haji Mustafa Bin Datu Harun. Melalui pertubuhan inilah perkembangan pengajian islam khusunya dalam pengajian hadith semakin berkembang di Sabah. Penerbitan buku-buku serta risalah-risalah yang mengandungi seruan kepada kebenaran deen al-Islam melalui penerangan ajaran Islam, kisah-kisah sejarah Islam yang dipetik daripada hadith-hadith Rasulullah s.a.w yang mampu menarik minat masyarakat untuk mendalami ilmu Islam. Hal ini terbukti apabila seramai 60 000 penduduk Sabah telah memeluk Islam bermula pada tahun 1969 sehingga tahun 1972.

Hasil perkembangan Islam yang memberansangkan, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah ditubuhkan pada tahun 1971 berdasarkan enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 yang berperanan dalam menyebarluaskan lagi Islam di Sabah yang lebih bersifat contextualization (keperibumian) atau konsep dakwah bil hal. Sebagai contoh penerbitan Majalah Hikmah sebulan sekali yang mengandungi mesej dakwah yang mengandungi potongan-potongan hadith Rasulullah s.a.w. Kontribusi daripada kerjasama erat diantara MUIS dan USIA telah melancarkan lagi pentadbiran serta perkembangan Islam sehingga ke era 1980-an dan seterusnya membuka ruang yang begitu luas dalam memperkenalkan dan menyebarkan ilmu hadith dikalangan penduduk Sabah.

Dapat disimpulkan bahawa, perkembangan pengajian hadith pada periode ini masih menunjukkan trend yang sama pada periode yang sebelumnya. Para ulama masih menekankan aspek dakwah secara tradisional kepada masyarakat dan membanteras penguasaan gerakan Kristianisasi dan penjajah. Walaupun demikian, usaha dalam mengembangkan ilmu hadith pada zaman ini tetap wujud secaa tidak langsung melalui kelas-kelas pengajian yang berbentuk non-formal melalui gerakan para ulama dan pendakwah.

Kewujudaan institusi-institusi Islam dalam masa yang sama juga bukan sahaja membantu menyebarkan gerakan Islam, malah meletakkan ilmu hadith pada satu neraca yang membanggakan serta memperlihatkan metode penyampaian hadith yang lebih bersifat kontemporari sesuai dengan bi’ah atau kondisi masyarakat ketika itu.

3.3.3 Periode Ketiga ( Dari Tahun 1990-an Sehingga Kini )

Periode ketiga ini memperlihatkan pengajian Hadith bukan sahaja diterima umum malah menjadi subjek yang semakin diminati dikalangan penduduk tempatan Sabah. Situasi ini dapat dilihat melalui sistem pendidikan hasil kerjasam erat diantara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan penubuhan Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) dan kini dikenali Sekolah Agama Negeri (SAN) serta penubuhan Sekolah Menengah Ugama (SMU) di setiap zon di Negeri Sabah. Melalui penubuhan sistem pendidikan ini, pengajaran hadith lebih formal diajarkan di setiap peringkat dan sistem peperiksaan turut diperkenalkan bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat tempatan. Hingga kini jumlah keseluruhan SAN di Sabah berjumlah 231 buah manakala SMU berjumlah 5 buah. 

Menurut Ustazah Hjh Zubaidah Hj Hammadi, Ketua Unit Kenaziran Bahagian Pendidikan JHEAINS, hadith-hadith yang diajarkan di SAN dan SMU adalah merupakan potongan hadith-hadith yang dipilih daripada kitab hadith seperti Kitab Sahih Bukhori, Sahih Muslim, Hadith Matn Arba’in Imam Nawawi dan sebagainya. Kebanyakan hadith-hadith yang dipilih kebnyakannya meliputi aspek pembinaan akhlak muslim. Manakala kedudukan hadith tidak menjadi tumpuan utama sebaliknya isi kandungan serta mesej yang hendak disampaikan adalah lebih diutamakan.

Situasi ini juga dapat dilihat dengan penubuhan madrasah atau pondok seperti Madrasah al-Irsyadiah di Marakau Ranau dan Pondok Fizalil Quran di Kota Belud yang melaksanakan pembelajaran subjek hadith yang lebih bersifat basic knowledgement. Perkembangan hadith di Sabah diteruskan dengan pengimarahan masjid dengan kelas-kelas pengajian seperti di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Negeri Sabah, Masjid Besar Tawau, Masjid Kg. Likas. Namun kitab hadith pilihan yang dijadikan panduan antaranya kitab :
  • 40 Hadith Sekitar Selawat Ke Atas Junjungan Rasulullah oleh Abdullah al-Qari Hj Saleh . Cetakan Al-Hidayah Publisher. 1996 (terjemahan)
  • Empat Puluh Hadis Pilihan oleh Abdullah Hj Abdul Wahab.  Cetakan Dewan Bahasa dan Pustaka. 1980
  • Seribu Seratus Hadith Terpilih  Sinar Ajaran Muhammad oleh Dr Muhammad Faiz al-Math. Cetakan Penerbitan Kintan Kg Bharu. 1993. (terjemahan)
Penubuhan Pusat latihan Dakwah (PLD) juga seperti PLD Keningau, PLD Sikuati Kudat, PLD Tongod dan PLD Kundasang memainkan peranan penting bukan sahaja dalam aspek dakwah Islam malah menyemarakkan lagi pengajian hadith di Sabah. Justeru dapat disimpulkan bahawa pada periode ini kesedaran masyarakat tempatan Sabah terhadap pentingnya kefahaman yang sahih dalam memahami ajaran Islam membawa kepada perkembangan hadith di Sabah.

3.4 Cabaran Pengajian Hadith di Sabah

Antara cabaran pengajian hadith yang dikenal pasti di sabah adalah seperti berikut :

·        Wujudnya penggunaan hadith yang tidak berautoriti di kelas-kelas pengajian, bahan-bahan yang diterbitkan, buku-buku teks sehingga dijadikan sumber hujah dan sandaran  dalam ibadah seharian.
·         Segelintir masyarakat masih memandang pengajian ilmu hadith sebagai satu pengajian yang tidak penting. Ini disebabkan kurangnya penerangan yang tepat    berkenaan kedudukan sebenar hadith dalam Islam.
·         Kefahaman masyarakat yang rendah dalam memahami isi kandungan hadith sehingga menyebabkan kefahaman yang salah terhadap sesuatu hadith.
·         Ketidakwujudan institusi khusus dalam memantapkan kefahaman dikalangan  penduduk pribumi Sabah.
·         Kurangnya penekanan terhadap ilmu hadith khasnya dikalangan masyarakat Sabah yang meliputi para pendidik, pegawai agama dan masyarakat.

3.5 Cadangan Ke Arah Pemantapan Pengajian Hadith di Sabah

·         Mewujudkan institusi hadith khusus samada di bawah seliaan Majlis Ugama Islam Sabah atau Universiti Malaysia Sabah. Walaupun pengajian Diploma Usuluddin di UMS telah wujud, namun ianya masih belum memadai untuk menyebarkan lagi ilmu hadith dikalangan masyarakat.
·         Penyusunan semula subjek-subjek hadith di peringkat Sekolah Rendah dan Menengah khasnya sekolah di bawah seliaan kerajaan negeri agar pemahaman yang betul dapat dicapai khasnya bagi pribumi Sabah.
·         Membuat peruntukan khas atau penajaan bagi membiayai anak jati Sabah untuk mendalami ilmu pengajian Islam umumnya dan ilmu hadith khasnya di institusi-institusi yang diiktiraf antarabangsa.
·       Memanfaatkan teknologi dalam penyebaran dan pengembangan hadith yang meluas di kalangan umat Islam di Sabah dengan menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Ibunda yang meliputi setiap etnik di negeri ini.
·       Mewujudkan wadah yang menghimpunkan tenaga pakar  dalam bidang hadith. Dengan itu satu  perancangan aktiviti dan program ilmiah berkaitan hadith dapat digerakkan dengan cara yang tersusun dan berkesan. 

4.0 PENUTUP
                        
Pengajian hadith di Sabah sejak dari era sebelum merdeka sehingga ke hari ini memperlihatkan satu perubahan yang boleh dibanggakan setelah melihat nuansa perkembangan ilmu ini yang melalui satu tahap yang berbentuk multi-dimensi.

Walaupun kedudukan ilmu hadith dikalangan masyarakt pribumi tidak sehebat ilmu-ilmu lain seperti ilmu Tasawwuf, Aqidah dan Fiqh, namun sejak akhi-akhir ini minat masyarakat terhadap ilmu ini terbukti dengan kewujudan kelas-kelas pengajian yang mana trend ini sewaktu ketika dahulu sukar untuk diadakan bukan sahaja kerana kurangnya minat di kalangan penduduk tempatan malah sekatan yang pelbagai membantutkan perkembangan ilmu ini. Justeru penggemblengan tenaga dikalangan para sarjanawan dan pakar hadith dalam merencana program dan aktiviti sewajarnya dilaksanakan demi untuk melihat umat Islam khususnya di Kepulauan Borneo tidak ketinggalan dalam konteks memahami deen al-Islam mengikut manhaj yang sahih.


Wednesday, July 13, 2011

Majlis Ilmu, mendekati golongan Ilmuan

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana seminar http://musnad-my.blogspot.com/ telah selesai. Seminar antarabangsa Sunnah Nabawiyah ini telah disertai oleh tokoh-tokoh ilmuan dari Universiti-universiti tempatan dan universiti luar. Dalam seminar ini saya ada menulis sebuah artikel yang ditulis bersama sahabat saya, Selamat Amir yang bertajuk Pengajian Hadith di Sabah: Satu Sorotan. Semoga kertas kerja ini mampu memberi sedikit sumbangan untuk memperkasakan lagi perkembangan pengajian Islam di Borneo bagi menyemarakkan kefahaman Islam, agar dapat dihayati dalam kehidupan.

Thursday, June 30, 2011

Bingkisan Mumtazhumaira’~membelah awan biru, awan Mumtazhumaira’


Bingkisan ini ditulis oleh penulis ketika dalam penerbangan  Airasia dari Sabah ke Kuala Lumpur. Menaiki pesawat buat kesekian kalinya. Acapkali masih dihantar ibu dan ayah tercinta, penulis seperti biasa  masih tetap merasakan kesedihan setiapkali berpisah dengan permata hati pengarang jantung, walaupun kali ini penulis hanya ke Kuala Lumpur selama 2 minggu untuk beberapa amanah dan urusan yang perlu diselesaikan. Penulis seperti biasa tetap mampu tersenyum dan melambai girang menyembunyikan kesedihan yang bertandang di lubuk hati agar resah dan gusar yang dirasai tidak akan menyebabkan ayah dan ibu berduka.
Ya, kali ini tetap macam selalu, ibu dan ayah tidak jemu-jemu menasihati puteri bongsu kesayangan mereka ini dengan pelbagai nasihat yang berguna sebagai bekalan dan azimat ketika bermusafir di negeri orang. Hati mana tidak gundah untuk melepaskan anak perempuan keluar bermusafir seorang diri tanpa teman. Namun apakan dayaku. Perjalanan harus ditempuh walaupun hanya berseorangan. Semasa menjamah nasi yang dibeli oleh ibu di salah sebuah restoran yang sering dikunjungi di Tanjung Aru berdekatan dengan airport, persoalan mencari jodoh yang dibicarakan. Ibu menginggatkanku supaya menjaga akhlak, ikhtilad danj batas-batas dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Ibu sering membangkitkan isu ini bukan kerana tidak yakin dengan diriku, tetapi itulah kerisauan seorang ibu yang begitu sayangkan masa depan anaknya. Selagi lafaz sakinah dilafazkan oleh mujahid yang Allah takdirkan sebagai pengemudi bahtera kehidupanku, selagi itu aku masih amanah buat ayah dan ibuku..Terima kasih ibu dan ayah atas nasihat kalian.
Bila membicarakan soal jodoh, mama meletakkan beberapa syarat yang begitu berat sebenarnya bagiku. “ Mama lebih suka kalau Ina berkahwin dengan orang dekat-dekat, senang mama nak datang atau kamu nak melawat ibu nak”..begitulah lebih kurang selalu kata-kata ibu. Memang ada relevennya kata-kata ibu. Tapi saya cukup risau kalau-kalau diri ini tidak mampu memenuhi kehendak ibu, kerana soal jodoh itu kan di tangan Allah. Bagi diriku, saya tidak cerewet pasal jodoh. Yang penting cukup empat syarat yang digariskan oleh Rasulullah dalam mafhum hadith baginda S.A.W: Dinikahi perempuan itu kerana empat perkata. Kerana hartanya, kecantikkannya, keturunannya serta agamanya. Maka plihlah yang beragama, insya’allah kamu akan berbahagia…
“Ma, jauh atau dekat , orang Sabah atau orang Semenanjung bukan persoalan utama, yang penting kan iman dan taqwa”. Mama mengangguk, tapi mesti mahu mmenetap di Sabah dan sekufu denganmu nak..cari orang yang berilmu, beriman, bertaqwa dan beramal. Ya mama, doakan Ina mendapat jodoh yang terbaik yang mampu membawa bahtera yang bakal terbina di jalan dakwah ke muara keredhaan Ilahi. 

Saturday, June 18, 2011

RINDU YANG SERING BERTANDANG

Rindu itu selalu bertamu di hati ku yang gersang saat diri berada jauh di perantauan. Sukar diterjemahkan apakah jenis kerinduan itu. Kerinduan yang sentiasa mendominasi segenap ruang dan fikiran ku yang saban hari senantiasa menerawang dek teringatkan segalanya yang ku rindu. Namun apa yang pasti, kerinduan itu akan ku pastikan tidak melebihi kerinduan dan kecintaan ku terhadap pencipta Yang Maha Agung, Yang Maha menciptakan segala yang menjadi kerinduan hamba yang kerdil ini.


Subhanallah, Wa Alhamdulillah, Wa Lailah Ila Allah, Wa Allahu Akbar......keindahan Kota Metropolitan yang dikatakan indah oleh segelintir manusia tidak pernah bisa mengubat kerinduan ini. Segalanya yang dikatakan indah hanyalah keindahan duniawi umpama kecantikan bunga plastik, yang hanya cantik dipandang dan hanya menjadi perhiasan yang mempersonakan serta mampu memukau mata yang memandang, namun tiada seri dan baunya. Namun aku perlu berada di sini, kerana para Asatizah dan lubuk ilmu untuk mencari bekalan berkelana di dunia fana hingga ke akhirat kelak berada di Kota yang dilimpahi lampu neon di malam hari ini.


Aku rindukan keindahan yang hakiki, keindahan alam semula jadi ciptaan Yang Maha Agung. Aku rindukan lenggokan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan jiwa dan merehatkan minda dari kawasan pergunungan, kehijauan yang mendamaikan mata memandang, kokokan ayam kala dinihari yang mengejutkan aku untuk bangun menunaikan tanggungjawab sujud kepadaNya, air sungai yang sejuk dan jernih umpama air yang baru dikeluarkan dari peti sejuk yang menyegarkan, kuntuman bunga-bunga mekar yang sentiasa bersedia dihinggapi lebah untuk menghasilkan madu lebah terbaik untuk manfaat paling berharga buat manusia...memberi yang terbaik dan menghasilkan yang terbaik..


 Alhamdulillah, aku amat bersyukur dilahirkan di bumi bertuah Ranau yang diciptakan oleh Allah S.W.T dengan pelbagai kelebihan...dikurniakan Allah S.W.T alam semula jadi yang indah untuk tadabbur ayat kawniah (alam ini adalah bukti kekuasaan Allah S.W.T) untuk menambah keimanan kepadaNya, tanah yang subur untuk bercucuk tanam, berkebun, berladang untuk meraih rezeki yang halal kurnianNya...dan paling teristimewa di sini juga Allah S.W.T sediakan peluang dakwah yang terbentang luas buat diriku dan para Da’ie untuk menyeru insan-insan tercinta (ibu, ayah dan keluargaku) dan masyarakat di sekeliling untuk kembali kepadaNya..menyebarkan kefahaman Islam, menyambung perjuangan yang dirintis oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat dapat diteruskan..agar Keindahan Islam yang telah tertanam di hati setiap insan-insan yang telah menerima Islam sebagai pegangan hidup akan terus bersemi dan mekar mewangi..mampu mengaplikasikan segala tuntutan dalam Rukun Islam dan Rukun Iman, serta membumikan segala yang terkandung di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak dilupakan jua buat insan-insan yang belum mengenal Islam agar kembali kepada-Nya untuk menEsakan Allah S.W.T. Moga Allah S.W.T permudahkan urusanku dan dan Para Da’ie yang benar-benar ikhlas berjuang  dalam urusan dakwah ini. Moga mampu mengetuk hati-hati yang secara fitrah inginkan kebaikan untuk kembali meREALisasikan Bai’ah kepada Allah S.W.T sewaktu berada dia alam rahim. Amin.. Itulah kerinduan yang sentiasa bersemi dihati ini, yang kian hari makin mekar mewangi..moga akan berkekalan hingga ke syurga yang kekal abadi.

Bayu kerinduan yang sentiasa melambai-lambai untuk balik berkhidmat secepatnya di tanah air tercinta. Perancangan yang rapi perlu diatur sebaiknya untuk melancarkan segala urusan ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan diri ini ibu-bapa, adik-beradik, keluarga, saudara mara dan sahabat handai seperjuangan yang sentiasa melayani saat-saat dan setik-detik lesu agar terus meneruskan langkah perjuangan ini yang tidak akan pernah berakhir selagi tidak memijak pintu syurga tertinggi yang menjadi idaman setiap insan beriman..sentiasa ku sematkan di lubuk hatiku yang paling dalam, “mengapa berjuang itu pahit, kerana syurga itu manis”

Irna Wati  bintu Amusin bin Karim bin Guar bin Galai @ Mumtaz Humaira’
Teratak Hijau Merah (h.m) Kg. Mohimboyon Ranau, Sabah 2.32 am ( 10 Jun 2011 @ 8 Rejab 1432 H)

Monday, May 16, 2011

Ada apa dengan bulan Mei~ Irna de May

        Ada apa dengan bulan Mei? banyak perkara yang berlaku dalam bulan ke lima dalam kiraan kalender tahun masihi ini. Bagi sesebuah organisasi, sudah boleh mengukur tahap pencapaian yang telah dicapai dan belum dicapai dalam tempoh masa setengah tahun mengikut misi dan visi yang ada. Bulan Mei memang amat sinonim bagi diri ana. Kerana ana dilahirkan oleh mama setelah berada lebih kurang setahun berada dalam perut mama pada bulan Mei (sebenarnya ana lebih suka menginggati 11 Ramadhan sebagai tarikh lahir ana). Terima kasih mama, yang telah menumpangkan rahimmu buat anakmu ini, dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah, ana lahir menjadi anak mama dan papa. Melahirkan, membesarkan, mendidik diri ini bagai menatang minyak yang penuh. Moga diri ini mampu menjadi anak solehah, penyejuk hati mama dan papa sebagai bekalan mama dan papa untuk bertemu denganNya kelak.


10 Mei 1987: Tarikh keramat, mama telah melahirkan puteri bongsu, dengan harapan supaya menjadi srikandi harapan yang akan menjadi pembela agama bangsa dan negara.
10 Mei 2011: Hari ulang tahun kelahiran ana yang kesekian kalinya. Menyambut ala kadar dengan sedikit kenduri jamuan kesyukuran dan sedikit pengisian. Mendapat mesej-mesej dan ungkapan doa dari mama, papa, abang Oboy, abg Im dan sahabat-sahabat melalui mesej dan FB. Alhamdulillah semua kata-kata dan doa yang baik-baik untuk diri ini terus kuat dan kejapkan langkah untuk terus melangkah dan berlari mengejar impian untuk sampai ke garisan penamat yang hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui bilakah akan berlaku saat itu. Saat nikmat nyawa yang dipinjamkan, diambil kembali oleh Allah SWT untuk melalui fasa seterusnya.

          Merenung jauh ke dalam diri...apa yang ana dah buat selama hidup 24 tahun di alam dunia citaanNya. Sudahkan ana laksanakan tanggungjawab yang tergalas di bahu ini. Menjadi anak, pelajar, penuntut Ilmu, pejuang, masyarakat..apa yang sudah ana lakukan sebagai seorang insan kerdil yang mengaku sebagai pejuang??? Seperti baru semalam saat berada dalam pelukan mama yang hangat dengan kasih sayang, mama menyikat rambut dan menghantar ke tadika, bermain anak patung, bermain kereta mainan, mandi sungai di depan sekolah sampai pucat, main kejar-kejar bila balik dari sekolah, papa menghantar ke asrama,  menolong papa dan mama menyiram sayur-sayuran di kebun dan bertanya itu dan ini, menjadi ketua Biro Masjid di Sekolah, mendapat tawaran masuk UM, datang ke KL, bergraduasi dan seterusnya sekarang sudah menjadi Calon Sarjana UM. Cepatnya masa berlalu. Tanpa kita sedari, masa terus berputar. Diri ini kadang kala terlalu gopoh berlari  bagi mengejar impian hingga kadangkala letih dan semput berseorangan. Berhenti sejenak...apa matlamat yang hendak dituju sebenarnya.

            Di dalam keadaan berlari kadang-kala terlupa insan-insan sekeliling yang perlu diajak berlari atau berjalan seiringan untuk sampai ke destinasi yang satu. Kesedaran itu ada, tapi begitu sukar untuk dibumikan. Tapi, itu sebenarnya adalah cabaran yang mesti diatasi. Walau sesukar mana pun jalan yang perlu dirintis, pasti Allah SWT akan berikan jalan keluar yang tidak di sangka-sangka. Ya, jalan dakwah yang dirintis ini, sunnah sudah pasti penuh ranjau, onak dan duri. Tapi Allah SWT telah sediakan senjata ampuh untuk manghadapi segalanya. Pokonya adalah keimanan dan ketakwaan kepadaNya. Allah sediakan malam bukan sekadar tempat untuk beristirehat, tetapi tempat untuk mengadu dan menceritakan segala-galannya kepada DIA Yang Maha Pendengar rintihan hamba-hambaNYA. Sentiasa yakin dan positif dengan pertolongan Allah SWT.

           Sudah 4 tahun merintis jalan menimba ilmu di Universiti Tarbiyyah Malaya. 4 tahun meniti liku-liku perjuangan. Di UM medan tempat ana mengenal dan belajar erti sebuah perjuangan. Peluang sesekali pulang ke kampung halaman, keluarga sendiri pun jarang mendapat sentuhan dakwah daripada puteri bongsu yang diharapkan menjadi srikandi Agama ini, apatah lagi kepada masyarakat. Argh, amat kerdil diri ini. Sedangkan diri ini memikul tanggungjawab besar sebagai ilmuan Islam (berilmu, beramal dan sampaikan). Saat ini kekuatan dalaman dan pergantungan pada Allah SWT adalah segala-galanya. Ya Allah, hamba tidak sanggup orang-orang yang diri ini cintai menjadi bahan bakar api neraka lantaran kegagalan diri ini mengajak mereka kembali kepadaMu. Berikanlah kekuatan, dan kurniakanlah diri ini sahabat-sabahiah perjuangan yang sentiasa bersama melayani saat-saat lesu agar terus meneruskan perjuangan untuk menyampaikan Kalimah La Ilaha Illa Allah. Moga hati mereka lunak untuk mendapat sentuhan dakwah.