Photobucket

Monday, May 16, 2011

Ada apa dengan bulan Mei~ Irna de May

        Ada apa dengan bulan Mei? banyak perkara yang berlaku dalam bulan ke lima dalam kiraan kalender tahun masihi ini. Bagi sesebuah organisasi, sudah boleh mengukur tahap pencapaian yang telah dicapai dan belum dicapai dalam tempoh masa setengah tahun mengikut misi dan visi yang ada. Bulan Mei memang amat sinonim bagi diri ana. Kerana ana dilahirkan oleh mama setelah berada lebih kurang setahun berada dalam perut mama pada bulan Mei (sebenarnya ana lebih suka menginggati 11 Ramadhan sebagai tarikh lahir ana). Terima kasih mama, yang telah menumpangkan rahimmu buat anakmu ini, dengan izin Allah SWT. Alhamdulillah, ana lahir menjadi anak mama dan papa. Melahirkan, membesarkan, mendidik diri ini bagai menatang minyak yang penuh. Moga diri ini mampu menjadi anak solehah, penyejuk hati mama dan papa sebagai bekalan mama dan papa untuk bertemu denganNya kelak.


10 Mei 1987: Tarikh keramat, mama telah melahirkan puteri bongsu, dengan harapan supaya menjadi srikandi harapan yang akan menjadi pembela agama bangsa dan negara.
10 Mei 2011: Hari ulang tahun kelahiran ana yang kesekian kalinya. Menyambut ala kadar dengan sedikit kenduri jamuan kesyukuran dan sedikit pengisian. Mendapat mesej-mesej dan ungkapan doa dari mama, papa, abang Oboy, abg Im dan sahabat-sahabat melalui mesej dan FB. Alhamdulillah semua kata-kata dan doa yang baik-baik untuk diri ini terus kuat dan kejapkan langkah untuk terus melangkah dan berlari mengejar impian untuk sampai ke garisan penamat yang hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui bilakah akan berlaku saat itu. Saat nikmat nyawa yang dipinjamkan, diambil kembali oleh Allah SWT untuk melalui fasa seterusnya.

          Merenung jauh ke dalam diri...apa yang ana dah buat selama hidup 24 tahun di alam dunia citaanNya. Sudahkan ana laksanakan tanggungjawab yang tergalas di bahu ini. Menjadi anak, pelajar, penuntut Ilmu, pejuang, masyarakat..apa yang sudah ana lakukan sebagai seorang insan kerdil yang mengaku sebagai pejuang??? Seperti baru semalam saat berada dalam pelukan mama yang hangat dengan kasih sayang, mama menyikat rambut dan menghantar ke tadika, bermain anak patung, bermain kereta mainan, mandi sungai di depan sekolah sampai pucat, main kejar-kejar bila balik dari sekolah, papa menghantar ke asrama,  menolong papa dan mama menyiram sayur-sayuran di kebun dan bertanya itu dan ini, menjadi ketua Biro Masjid di Sekolah, mendapat tawaran masuk UM, datang ke KL, bergraduasi dan seterusnya sekarang sudah menjadi Calon Sarjana UM. Cepatnya masa berlalu. Tanpa kita sedari, masa terus berputar. Diri ini kadang kala terlalu gopoh berlari  bagi mengejar impian hingga kadangkala letih dan semput berseorangan. Berhenti sejenak...apa matlamat yang hendak dituju sebenarnya.

            Di dalam keadaan berlari kadang-kala terlupa insan-insan sekeliling yang perlu diajak berlari atau berjalan seiringan untuk sampai ke destinasi yang satu. Kesedaran itu ada, tapi begitu sukar untuk dibumikan. Tapi, itu sebenarnya adalah cabaran yang mesti diatasi. Walau sesukar mana pun jalan yang perlu dirintis, pasti Allah SWT akan berikan jalan keluar yang tidak di sangka-sangka. Ya, jalan dakwah yang dirintis ini, sunnah sudah pasti penuh ranjau, onak dan duri. Tapi Allah SWT telah sediakan senjata ampuh untuk manghadapi segalanya. Pokonya adalah keimanan dan ketakwaan kepadaNya. Allah sediakan malam bukan sekadar tempat untuk beristirehat, tetapi tempat untuk mengadu dan menceritakan segala-galannya kepada DIA Yang Maha Pendengar rintihan hamba-hambaNYA. Sentiasa yakin dan positif dengan pertolongan Allah SWT.

           Sudah 4 tahun merintis jalan menimba ilmu di Universiti Tarbiyyah Malaya. 4 tahun meniti liku-liku perjuangan. Di UM medan tempat ana mengenal dan belajar erti sebuah perjuangan. Peluang sesekali pulang ke kampung halaman, keluarga sendiri pun jarang mendapat sentuhan dakwah daripada puteri bongsu yang diharapkan menjadi srikandi Agama ini, apatah lagi kepada masyarakat. Argh, amat kerdil diri ini. Sedangkan diri ini memikul tanggungjawab besar sebagai ilmuan Islam (berilmu, beramal dan sampaikan). Saat ini kekuatan dalaman dan pergantungan pada Allah SWT adalah segala-galanya. Ya Allah, hamba tidak sanggup orang-orang yang diri ini cintai menjadi bahan bakar api neraka lantaran kegagalan diri ini mengajak mereka kembali kepadaMu. Berikanlah kekuatan, dan kurniakanlah diri ini sahabat-sabahiah perjuangan yang sentiasa bersama melayani saat-saat lesu agar terus meneruskan perjuangan untuk menyampaikan Kalimah La Ilaha Illa Allah. Moga hati mereka lunak untuk mendapat sentuhan dakwah.


Luasnya Rahmat Ilahi~

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah masuk bulan yang kelima dalam kiraan bulan Masihi. Kesibukan dan sedikit komitmen yang ada menyebabkan hanya mampu untuk mem"post" satu post setiap bulan. Argh, kenapa kesibukan harus dijadikan alasan, ia sepatutnya dijadikan cabaran. Para ulama' dahulu boleh menghasilkan pelbagai karya, walaupun sibuk dengan perjuangan menegakkan  kalimah Allah. Sedangkan aku???, Moga mampu mencontohi Syeikh Idris al-Marbawi, Buya Hamka, Syed Qutb, Sa'id Hawa, Dr Yusuf al-Qaradhawi, dan ramai lagi tokoh ilmuan yang aktif di medan dakwah namun mampu menghasilkan pelbagai karya, manajamkan mata pena sebagai senjata ampuh dalam menyebarkan DAKWAH ISLAMIYYAH  bagi menyambung perjuangan Rasulullah SAW.

Cepatnya masa berlalu bagaikan larian seorang pelari 100 M yang berlari pantas untuk sampai ke garisan penamat untuk mencapai gelaran juara dalam pertandingan. Pelari 100 M tersebut sama sekali tidak akan berpaling ke belakang, kerana pasti peserta yang lain akan mendahuluinya. Begitulah singkatnya tempoh kehidupan bagi seorang manusia. Masa yang Allah berikan kepada kita sebenarnya amat singkat untuk kita sampai kepada matlamat kita iaitu untuk mati dalam keadaan yang baik dan mendapat keredhaan Allah untuk mendapatkan tempat yang terbaik di sisiNya kelak di alam syurga kelak.


Dalam tempoh masa kita berlari untuk mencapai matlamat tersebut kita pasti diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang pastinya di datangkan olehNya bukan sia-sia, tanpa imbalan yang punya seribu satu hikmah yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Seandainya kita bersabar dengan ujian tersebut, maka kita maka semakin tinggi darjat ketakwaan kita di sisi Allah SWT, seandainya perkara sebaliknya yang berlaku maka amat malang sekali, kerana kita sedang berada dalam fasa merendahkan martabat kita di sisi Allah SWT (Na'uzubillah).



  
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, Padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat. 
(Surah al-Baqarah:214)  
 
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. 
(Surah al-Ankabut: 2-3)

Di dalam ayat 2 dan 3 Surah al-Ankabut, Allah SWT telah menceritakan kesusahan-kesusahan yang pernah dialami oleh para Rasul pada zaman terdahulu bersama pengikut-pengikut mereka. Para Rasul telah menghadapi ujian-ujian yang berat serta pengikut-pengikut mereka telah mengalami pelbagai mehnah dan tribulasi. Tetapi mereka menerimanya dengan penuh sabar dan hati yang tabah.

Allah SWT maha mengetahui dan akan memperlihatkan siapakah yang benar keimanannya dari yang berdusta, iaitu sebagai natijah dan menjadi keputusan dari ujian yang dijalankan ke atas mereka, lalu mereka pun diberikan balasan yang selayaknya mengikut apa yang mereka telah lakukan.