Photobucket

Sunday, January 16, 2011

Amanat Terakhir~



Beberapa Pesan Junjungan Kepada Umat, Menjelang Kewafatan Baginda


Beberapa Pesanan Ringkas Baginda SAW, menerusi khutbahnya yang masyhur yang disebut khutbah Wida' atau khutbah perpisahan saat melakukan Haji Wada ketika berkhemah di Namirah, Arafah. Beberapa pesanan penting untuk umat Islam. Baginda SAW mengambil peluang tersebut bagi mengukuhkan lagi hukum-hukum penting dalam kehidupan Umat Islam.


1. "Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah mulia ke atas kamu. Sehingga kamu bertemu dengan Tuhan kamu seperti mulianya hari ini dalam bulan ini dan di tempat ini."


Maksudnya, darah, nyawa dan harta Muslim itu haram diambil oleh orang lain. Besarnya pengharaman nyawa dan harta Muslim itu seperti besarnya pengharaman yang ada pada haji Akbar, pada bulan haram di Tanah Haram.


2. "Maka barang siapa ada memegang amanah, tunaikanlah amanahnya kepada tuannya yang berhak."


3. "Dan sesungguhnya riba orang Arab sebelum Islam sudah dibatalkan. Riba pertama yang aku batalkan adalah riba Abbas bin Abdul Muttallib."


4. "Dan sesungguhnya menuntu bela ke atas darah ke atas darah yang ada dalam masyarakat orang Arab sebelum Islam dibatalkan. Darah pertama yang aku batalkan adalah darah Amir bin Rabiah bin Harith bin Abdul Muttallib".


5. " Dan sesungguhnya kebanggaan orang Arab sebelum Islam juga dibatalkan melainkan dua perkara iaitu Sidanah, menjaga dan memelihara Ka'abah dan Siyaqah, memberi minum kepada jemaah haji".


6. "Pembunuhan yang sengaja itu mengikut hukum Islam dipanggil Qawad". 
Rasulullah menjelaskan 3 hukuman kepada si pembunuh.


 7. "Wahai manusia sesungguhnya syaitan kecewa untuk disembah di tempat kamu ini iaitu di Tanah Arab."
"Tetapi, dia cukup setakat dapat ditaati dalam perkara selain menyembahnya iaitu daripada perbuatan-parbuatan yang keji daripada amalan kamu."


Syaitan tidak akan disembah lagi, tetapi dia tetap berjaya menghasut manusia melakukan kejahatan dan dosa.


8. "Wahai manusia, sesungguhnya perbuatan mempermainkan bulan haram adalah penambahan yang kufur."
"Orang-orang kafir menyelewengkan perkara ini. Mereka mengharamkannya pada satu tahun dan menghalalkannya pada tahun yang lain untuk mereka malakukan perkara yang Allah haramkan."


9. "Dan sesungguhnya waktu itu telah berputar semula seperti keadaannya semasa Allah menciptakan langit dan bumi".
Baginda SAW memberitahu, pada masa ini, perjalanan waktu sudah kembali kepada perjalanan yang betul.


10. "Wahai manusia, sesungguhnya bagi isteri kamu ke atas kamu ada kewajipan begitu juga bagi kamu ke atas mereka ada kewajipan.....Baginda menjelaskan berkenaan hak suami terhadap isteri dan hak isteri terhadap suami, serta cara atau hukuman yang boleh dilakukan sekiranya isteri melakukan kemungkaran.


11. "Wahai manusia, sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Tidak halal bagi kamu harta-harta saudara kamu melainkan dengan keredaan daripadanya....sesungguhnya aku sudah tinggalkan kepada kamu, kalau kamu berpegang dengan peninggalan ini kamu tidak akan sesat iaitu al-Quran..


12. " Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah membahagikan kepada setiap waris bahagiannya dari harta pusaka....Baginda menjelaskan berkenaan wasiat dan perwarisan harta.


Menurut sesetengah ulama', dengan selesainya Haji Wada' ini, sempurnalah al-Quran sebagai kitab perundangan dan peraturan kehidupan manusia. Tidak ada lagi ayat al-Quran yang turun selepas itu. Selepas menunaikan haji, Nabi Muhammad SAW pulang ke Madinah.


*Sumber: Biografi Muhammad bin Abdullah: Perjalanan Hidup Seorang Nabi, karya Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Neamah Abd. Rahman