Photobucket

Friday, August 19, 2011

Duniaku SRI Al-Hafidz

INDAHNYA PERIBADI DIHIASI AHKLAK AL-QUR'AN



18 Ogos 2011, saya kembali menunaikan kewajipan saya di SRI Al-Hafidz setelah berasa di semenanjung selama hampir 2 minggu atas beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Mudir memberikan beberapa tugas iaitu kelas al-Qur'an, buat artikel dalam blog sekolah, dan menbuat draf kajian jadual waktu sekolah/ modul berdasarkan kajian al-Qur'an dan kajian saintifik. Alhamdulillah, saya dapat menyiapkan satu artikel yang dimasukkan dalam blog sekolah di http://www.sri.alhafidz.abqarie.com/ 

UJIAN BULANAN VS UJIAN RAMADHAN

Minggu ini dan minggu hadapan adalah minggu ujian bulanan bagi para pelajar SRI Al-Hafidz, seperti yang dimaklumkan dalam post sebelum ini. Para pelajar menjalani jadual pembelajaran seperti biasa pada waktu pagi iaitu dimulai dengan zikir dan ulangan hafalan al-Qur’an seterusnya kelas hafalan al-Qur’an yang dibimbing oleh beberapa tenaga pengajar yang dibahagikan mengikut tahap penguasaan terhadap bacaan al-Qur’an. Para pelajar akan mengikuti kelas pembelajaran seperti biasa dan menduduki ujian bulanan pada mengikut jadual yang ditetapkan. Soalan-soalan ujian telah digubal dan disediakan oleh penggubal kurikulum dan sukatan pelajaran serta guru-guru yang  mengajar setiap mata pelajaran.

Sempena bulan Ramadhan yang kian berada di penghujung fasa kedua, penulis cuba untuk membandingkan ujian yang dihadapi oleh para pelajar dengan ujian Tarbiyyah dalam bulan Ramadhan walaupun amat besar jurang perbezaan antara keduanya. Namun menurut hemat penulis, kedua-dua ujian ini mempunyai persamaan dari sudut terdapat beberapa objektif yang perlu dicapai setelah melalui kedua-dua ujian ini, khususnya bagi para pelajar SRI Al-Hafidz yang mana menjalani kedua-dua ujian ini dalam masa yang sama.

Dalam konteks pendidikan di Malaysia kebanyakan ujian bilik darjah adalah berbentuk pencapaian iaitu ujian untuk menentukan setakat mana murid telah menguasai apa yang telah diajar. Oleh itu ujian mestilah bersifat ‘representative’  kurikulum sekolah. Maka setelah selesai menjalani ujian ini, tahap penguasaan para pelajar akan dapat ditentukan sama ada mencapai tahap yang memuaskan atau tidak.

Manakala bagi ujian Tarbiyyah Ramadhan pula, para pelajar SRI Al-Hafidz digalakkan untuk berpuasa, iaitu sesiapa yang berjaya menghabiskan Ramadhan dengan puasa penuh akan mendapat ganjaran dari pihak sekolah selain para pelajar diajarkan akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. Walaupun kaedah ini, lebih menekankan soal materialistik, namun secara psikologinya ia amat berguna bagi para pelajar untuk melatih dan membiasakan mereka untuk melaksanakan tuntutan ibadah ini setelah sampai waktu yang wajib untuk mereka melaksanakannya kelak. 

Para pelajar tetap bersemangat untuk menjalani ibadah puasa ini walaupun tampak keletihan di wajah masing-masing. Jika terdapat pelajar yang sudah tidak tahan atau rasa macam hendak pitam, maka diizinkan untuk berbuka kerana mereka belum sampai tahap wajib untuk berpuasa. Sekurang-kurangnya mereka mereka boleh belajar, walaupun masih belum lengkap ibadah yang merekan jalankan.

Sesungguhnya Madrasah Ramadhan ini merupakan model tarbiyyah lengkap untuk mendidik manusia menjadi manusia yang bertakwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah:
183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Besar harapan daripada pihak sekolah agar para pelajar mendapat manfaat yang besar hasil daripada dua ujian yang ditempuh dalam bulan Ramadhan ini. Semoga ia mampu membentuk dan melentur jiwa tunas-tunas muda yang telah tertanam ilmu al-Qur’an sejak umur rebung agar dapat menjadikan pakaian Taqwa sebagai hiasan diri yang akan menjadi pemangkin kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
Anak-anak punyai potensi untuk dibangunkan. Mulakan proses mendidik seawal mugkin. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Menjana Insan bertaqwa dunia dan akhirat




No comments:

Post a Comment