Photobucket

Saturday, June 18, 2011

RINDU YANG SERING BERTANDANG

Rindu itu selalu bertamu di hati ku yang gersang saat diri berada jauh di perantauan. Sukar diterjemahkan apakah jenis kerinduan itu. Kerinduan yang sentiasa mendominasi segenap ruang dan fikiran ku yang saban hari senantiasa menerawang dek teringatkan segalanya yang ku rindu. Namun apa yang pasti, kerinduan itu akan ku pastikan tidak melebihi kerinduan dan kecintaan ku terhadap pencipta Yang Maha Agung, Yang Maha menciptakan segala yang menjadi kerinduan hamba yang kerdil ini.


Subhanallah, Wa Alhamdulillah, Wa Lailah Ila Allah, Wa Allahu Akbar......keindahan Kota Metropolitan yang dikatakan indah oleh segelintir manusia tidak pernah bisa mengubat kerinduan ini. Segalanya yang dikatakan indah hanyalah keindahan duniawi umpama kecantikan bunga plastik, yang hanya cantik dipandang dan hanya menjadi perhiasan yang mempersonakan serta mampu memukau mata yang memandang, namun tiada seri dan baunya. Namun aku perlu berada di sini, kerana para Asatizah dan lubuk ilmu untuk mencari bekalan berkelana di dunia fana hingga ke akhirat kelak berada di Kota yang dilimpahi lampu neon di malam hari ini.


Aku rindukan keindahan yang hakiki, keindahan alam semula jadi ciptaan Yang Maha Agung. Aku rindukan lenggokan angin sepoi-sepoi bahasa yang menenangkan jiwa dan merehatkan minda dari kawasan pergunungan, kehijauan yang mendamaikan mata memandang, kokokan ayam kala dinihari yang mengejutkan aku untuk bangun menunaikan tanggungjawab sujud kepadaNya, air sungai yang sejuk dan jernih umpama air yang baru dikeluarkan dari peti sejuk yang menyegarkan, kuntuman bunga-bunga mekar yang sentiasa bersedia dihinggapi lebah untuk menghasilkan madu lebah terbaik untuk manfaat paling berharga buat manusia...memberi yang terbaik dan menghasilkan yang terbaik..


 Alhamdulillah, aku amat bersyukur dilahirkan di bumi bertuah Ranau yang diciptakan oleh Allah S.W.T dengan pelbagai kelebihan...dikurniakan Allah S.W.T alam semula jadi yang indah untuk tadabbur ayat kawniah (alam ini adalah bukti kekuasaan Allah S.W.T) untuk menambah keimanan kepadaNya, tanah yang subur untuk bercucuk tanam, berkebun, berladang untuk meraih rezeki yang halal kurnianNya...dan paling teristimewa di sini juga Allah S.W.T sediakan peluang dakwah yang terbentang luas buat diriku dan para Da’ie untuk menyeru insan-insan tercinta (ibu, ayah dan keluargaku) dan masyarakat di sekeliling untuk kembali kepadaNya..menyebarkan kefahaman Islam, menyambung perjuangan yang dirintis oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat dapat diteruskan..agar Keindahan Islam yang telah tertanam di hati setiap insan-insan yang telah menerima Islam sebagai pegangan hidup akan terus bersemi dan mekar mewangi..mampu mengaplikasikan segala tuntutan dalam Rukun Islam dan Rukun Iman, serta membumikan segala yang terkandung di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Tidak dilupakan jua buat insan-insan yang belum mengenal Islam agar kembali kepada-Nya untuk menEsakan Allah S.W.T. Moga Allah S.W.T permudahkan urusanku dan dan Para Da’ie yang benar-benar ikhlas berjuang  dalam urusan dakwah ini. Moga mampu mengetuk hati-hati yang secara fitrah inginkan kebaikan untuk kembali meREALisasikan Bai’ah kepada Allah S.W.T sewaktu berada dia alam rahim. Amin.. Itulah kerinduan yang sentiasa bersemi dihati ini, yang kian hari makin mekar mewangi..moga akan berkekalan hingga ke syurga yang kekal abadi.

Bayu kerinduan yang sentiasa melambai-lambai untuk balik berkhidmat secepatnya di tanah air tercinta. Perancangan yang rapi perlu diatur sebaiknya untuk melancarkan segala urusan ini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana mengurniakan diri ini ibu-bapa, adik-beradik, keluarga, saudara mara dan sahabat handai seperjuangan yang sentiasa melayani saat-saat dan setik-detik lesu agar terus meneruskan langkah perjuangan ini yang tidak akan pernah berakhir selagi tidak memijak pintu syurga tertinggi yang menjadi idaman setiap insan beriman..sentiasa ku sematkan di lubuk hatiku yang paling dalam, “mengapa berjuang itu pahit, kerana syurga itu manis”

Irna Wati  bintu Amusin bin Karim bin Guar bin Galai @ Mumtaz Humaira’
Teratak Hijau Merah (h.m) Kg. Mohimboyon Ranau, Sabah 2.32 am ( 10 Jun 2011 @ 8 Rejab 1432 H)

No comments:

Post a Comment