Photobucket

Monday, May 16, 2011

Luasnya Rahmat Ilahi~

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah masuk bulan yang kelima dalam kiraan bulan Masihi. Kesibukan dan sedikit komitmen yang ada menyebabkan hanya mampu untuk mem"post" satu post setiap bulan. Argh, kenapa kesibukan harus dijadikan alasan, ia sepatutnya dijadikan cabaran. Para ulama' dahulu boleh menghasilkan pelbagai karya, walaupun sibuk dengan perjuangan menegakkan  kalimah Allah. Sedangkan aku???, Moga mampu mencontohi Syeikh Idris al-Marbawi, Buya Hamka, Syed Qutb, Sa'id Hawa, Dr Yusuf al-Qaradhawi, dan ramai lagi tokoh ilmuan yang aktif di medan dakwah namun mampu menghasilkan pelbagai karya, manajamkan mata pena sebagai senjata ampuh dalam menyebarkan DAKWAH ISLAMIYYAH  bagi menyambung perjuangan Rasulullah SAW.

Cepatnya masa berlalu bagaikan larian seorang pelari 100 M yang berlari pantas untuk sampai ke garisan penamat untuk mencapai gelaran juara dalam pertandingan. Pelari 100 M tersebut sama sekali tidak akan berpaling ke belakang, kerana pasti peserta yang lain akan mendahuluinya. Begitulah singkatnya tempoh kehidupan bagi seorang manusia. Masa yang Allah berikan kepada kita sebenarnya amat singkat untuk kita sampai kepada matlamat kita iaitu untuk mati dalam keadaan yang baik dan mendapat keredhaan Allah untuk mendapatkan tempat yang terbaik di sisiNya kelak di alam syurga kelak.


Dalam tempoh masa kita berlari untuk mencapai matlamat tersebut kita pasti diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang pastinya di datangkan olehNya bukan sia-sia, tanpa imbalan yang punya seribu satu hikmah yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Seandainya kita bersabar dengan ujian tersebut, maka kita maka semakin tinggi darjat ketakwaan kita di sisi Allah SWT, seandainya perkara sebaliknya yang berlaku maka amat malang sekali, kerana kita sedang berada dalam fasa merendahkan martabat kita di sisi Allah SWT (Na'uzubillah).



  
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, Padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat. 
(Surah al-Baqarah:214)  
 
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. 
(Surah al-Ankabut: 2-3)

Di dalam ayat 2 dan 3 Surah al-Ankabut, Allah SWT telah menceritakan kesusahan-kesusahan yang pernah dialami oleh para Rasul pada zaman terdahulu bersama pengikut-pengikut mereka. Para Rasul telah menghadapi ujian-ujian yang berat serta pengikut-pengikut mereka telah mengalami pelbagai mehnah dan tribulasi. Tetapi mereka menerimanya dengan penuh sabar dan hati yang tabah.

Allah SWT maha mengetahui dan akan memperlihatkan siapakah yang benar keimanannya dari yang berdusta, iaitu sebagai natijah dan menjadi keputusan dari ujian yang dijalankan ke atas mereka, lalu mereka pun diberikan balasan yang selayaknya mengikut apa yang mereka telah lakukan.





No comments:

Post a Comment