Photobucket

Friday, February 17, 2012

Artikel Dakwah Negeri di Bawah Bayu

sumber-
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Perspektif/20070311134457/
Article/

Jejak: Ahli sufi Ranau kebal
Oleh Mohd Azrone Sarabatin


Ilmu batin dimiliki Mandur Syarif Adiwinata merintis kepada
penyebaran Islam di Sabah

SEORANG ahli sufi terkenal di Ranau, Sabah pada 1940-an, Mandur
Syarif Adiwinata, dikatakan tidak mati digilis jentera penggelek
jalan (steam roll) yang digunakan untuk membunuh tokoh itu.

Ilmu kebal atau ilmu batin dimilikinya merintis kepada penyebaran
Islam di kalangan penduduk tempatan berbangsa Dusun di daerah yang
terkenal sebagai lokasi Gunung Kinabalu itu.

Dalam tempoh dua dekad berdakwah di Ranau dan daerah pedalaman Sabah
pada 1940-an, dianggarkan seramai 63,000 orang berjaya diIslamkan
oleh Mandur Syarif Adiwinata dan pengikutnya.

Nama sebenar Mandur Syarif Adiwinata ialah Muhammad Sarip Adiwinata
Ambik atau Syeikh Saib. Bagaimanapun, di kalangan masyarakat Dusun
yang menjadi pengikutnya, tokoh itu dikenali `Bapa Tua' atau `Bapa
Sarip'.

Mandur Syarif Adiwinata dilahirkan di Gagak Jaluh, Manjala, Bandung,
Jawa Barat, Indonesia pada 1884 dan dipercayai meninggal dunia di
Cicadas, Bandung pada 1969 ketika berusia 115 tahun.

Sebelum berhijrah ke Sabah atau ketika itu Borneo Utara pada 1930-
an, beliau pernah menetap di beberapa negeri di Semenanjung iaitu
Melaka, Selangor dan Terengganu, selain selatan Thailand.

Kurator Muzium Tamadun Islam Sabah, Arif Abdul Hamid, berkata kajian
mengenai Mandur Syarif Adiwinata ada dalam koleksi muzium itu,
tetapi belum didokumentasikan kerana penyelidikan mengenainya masih
dijalankan.

Bekas Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Datuk
Awang Sahari Abdul Latif, berkata peringkat awal Mandur Syarif
Adiwinata berhijrah ke ladang getah Sapong dan Melalap, Tenom di
Pedalaman Sabah.

Selepas itu, katanya tokoh itu dipindahkan oleh pengurusan ladang
itu ke Ladang Lobou, Tuaran yang bersempadan dengan Ranau serta
beliau memilih berdakwah di Ranau yang ketika itu penduduknya belum
menerima ajaran Islam.

Beliau berkata, tokoh itu mula berdakwah sejak awal kedatangannya ke
negeri ini dan kegiatan itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh
pada 1943 terutama di kalangan masyarakat Dusun tidak beragama
atau `Pagan'.

"Dakwah berbentuk nasihat dan bimbingan diterima baik kumpulan sasar
yang belum beragama, sekali gus menimbulkan kemarahan penjajah
beragama Kristian," katanya kepada Berita Minggu di Putatan,
Penampang, Sabah.

Sementara itu, Awang Sahari berkata, peringkat awal berdakwah di
Ladang Lobou, Mandur Syarif Adiwinata mendapati ramai penduduk
setempat di ladang itu dan daerah sekitarnya berminat memeluk Islam.

Katanya, penduduk terbabit majoritinya berbangsa Dusun dari Telipok,
Menggatal, Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.

Beliau berkata, ketika bekerja di Melalap, tokoh itu turut berdakwah
di daerah itu, selain Tenom, Beaufort, Papar dan Kota Kinabalu atau
ketika itu dikenali Jesselton.

"Biarpun nama Mandur Syarif Adiwinata asing dalam gerakan dakwah di
Sabah tetapi sumbangan beliau amat besar dalam perkembangan Islam
terutama di daerah pedalaman yang belum menerima Islam," katanya.

Seorang pengkaji Sejarah Islam di Sabah, Dr Muhidin Yusin, yang
berasal dari Ranau, berkata Mandur Syarif dihukum bunuh dengan
menggilisnya menggunakan jentera penggelek jalan.

Bagaimanapun, katanya, tokoh itu tidak mati yang membawa kepada
dimensi baru gerakan dakwah Islamiah di daerah pergunungan yang
sebelum itu terpisah dengan agama Islam.

Beliau berkata, sekumpulan lelaki yang diarah melaksanakan hukuman
itu lari lintang-pukang selepas mendapati tubuh tokoh itu tiada
cedera selepas digilis jentera berat berkenaan.

"Keperibadian mulia dan kekebalan Mandur Syarif Adiwinata
mengukuhkan keyakinan masyarakat setempat untuk memeluk Islam dan
menyertai gerakan penentangan penjajah," katanya.

Dr Muhiddin berkata, beberapa kampung di Ranau mirip Lubnan iaitu di
utara beragama Islam dan di selatan Kristian atau sebaliknya yang
terpisah oleh sebuah sungai, tetapi ia tidak menghalang gerakan
dakwah Islamiah.

Katanya, gerakan dakwah yang diasaskan oleh Mandur Syarif Adiwinata
merintis kepada perkembangan Islam di daerah yang turut dikenali
dengan Kolam Air Panas Poring iaitu kawasan pelancongan alam semula
jadi.

Beliau berkata, antara pemeluk Islam terawal di Ranau ialah Muhammad
Ali Kandalis, Daud Beringkok, Roman Limbongot dan Naiman Aru.

"Gerakan dakwah dijalankan Mandur Syarif Adiwinata menjadi ancaman
kepada penganut agama lain menyebabkan gerakannya dipantau pihak
penjajah yang membawa kepada hukuman bunuh terhadap tokoh itu.

"Bagaimanapun, tokoh itu tidak meninggal dunia ketika digilis
menggunakan jentera penggelek jalan yang menimbulkan kepercayaan
sebahagian penduduk Ranau terhadap Islam," katanya.

Seorang graduan dari Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti
Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi,
Selangor, Fatimah Sulaiman, berkata Mandur Syarif Adiwinata memiliki
ilmu kebatinan berlandaskan Islam.

Katanya, tokoh itu meletakkan syarat untuk mempelajari ilmu
kebatinan seseorang itu hendaklah beragama Islam yang menyebabkan
ramai penduduk daerah itu memeluk Islam untuk membolehkan mereka
menuntut ilmu berkenaan.

"Ajaran dipelajari pula hendaklah ke arah kebaikan merangkumi
keselamatan diri dan keluarga serta mengubati penyakit yang sukar
dikesan melalui teknologi perubatan moden," katanya yang membuat
kajian mengenai tokoh itu.

Fatimah berkata, ilmu kebatinan yang disampaikan Mandur Syarif
Adiwinata dipercayai masih diamalkan penduduk kampung di Ranau
antaranya Kampung Libang, Lohan, Tagudan Baru, Tagudan Lama, Ratau,
Putatan, Kundasang, Limpasu dan Kinapulidan.

"Purata pengamal ilmu kebatinan itu bagi setiap kampung adalah
antara tiga hingga empat orang," katanya.

Justeru, Mandur Syarif Adiwinata adalah seorang tokoh yang tidak
seharusnya dipinggirkan dalam senarai pendakwah yang berjuang
menegakkan syiar Islam di negeri di Bawah Bayu.

>Bapa Tua pikat penduduk dengan rawatan tradisi

SEORANG pengkaji sejarah Islam Sabah, Abdul Naddin Shaiddin, berkata
ramai datang menemui Mandur Syarif Adiwinata untuk berubat secara
tradisional.

Pada masa sama tokoh itu menjadi buruan penjajah kerana menyebarkan
ajaran Islam, sekali gus menimbulkan kemarahan Syarikat Berpiagam
Borneo Utara British (SBBUB).

"Berdasarkan pandangan beberapa pengkaji Sejarah Islam Sabah, Mandur
Syarif Adiwinata adalah seorang tabib yang menggunakan ilmu batin
untuk merawat pesakit dan pesakit bukan Islam.

"Ada anak murid tokoh itu yang berpegang kepada wasiatnya supaya
tidak mengabaikan solat dan mendalami al-Quran," katanya yang
mempunyai pertalian darah dengan keluarga Zaini Palembang iaitu
pendakwah di Ranau selepas Mandur Syarif Adiwinata.

Abdul Naddin berkata, biarpun Mandur Syarif Adiwinata sudah
meninggal dunia tetapi jasanya tetap dikenang. Tujuh muridnya
menziarahi keluarga tokoh itu di Cicadas, Bandung, Jawa Barat,
Indonesia pada 1989. Mereka juga menziarahi makam Allahyarham di
situ.

Prof Mohd Sarim Mustajab dari Universiti Malaysia Sabah (UMS)
berkata, penjajah berusaha keras mematahkan gerakan dakwah di Sabah
termasuk meluluskan undang-undang melarang pengislaman.

"Pada 15 April 1935, Dewan Undangan Negeri Borneo Utara yang
diterajui SBBUB meluluskan Ordinan Pentadbiran Kampung yang menyekat
gerakan dakwah Islam di kalangan penduduk pribumi bukan Islam di
pedalaman.

"Bagaimanapun, undang-undang itu tidak menghalang perkembangan
Islam, malah agama kita berkembang menerusi pengislaman oleh
Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) yang turut bertapak di
pedalaman.

"Usia merintis kewujudan organisasi Islam dan dakwah di Sabah,"
katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Sejarah
Kedatangan Islam di Sabah dan Implikasinya terhadap Pembinaan
Institusi Masyarakat', baru-baru ini.

Ketokohan ulama dan ahli sufi mencetuskan penentangan berterusan
rakyat Sabah yang menonjolkan tokoh terbilang seperti Datu Paduka
Mat Salleh, Datu Tating, Datu Baginda Putih, Pengiran Syahbandar
Hassan, Pak Musa, Syarif Usman, Embo Ali dan Panglima Ali.

Kuasa penjajah bertapak di Borneo Utara pada 1761 apabila pegawai
Syarikat Hindia Timur Inggeris di Madras, India, Alexander
Dalrymple, mendarat di Pulau Balambangan, Kudat selepas dibenarkan
Sultan Sulu.

Justeru ahli sufi dan ulama mempunyai peranan mengembangkan Islam di
Sabah dan memulakan gerakan menuntut kemerdekaan yang membawa kepada
kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 16 September 1963.

>Tokoh ulama bangkitkan semangat kemerdekaan

TOKOH ulama dan ahli sufi berjaya membangkitkan semangat kemerdekaan
di kalangan penduduk Borneo Utara (Sabah), lebih-lebih lagi mereka
mempunyai hubungan rapat dengan rakyat tempatan.

Seorang pengkaji sejarah Islam di Sabah, Dr Muhidin Syarif, berkata
antara ulama terkenal yang berusaha menyebarkan Islam dan
membebaskan Borneo Utara daripada cengkaman penjajahan Syarikat
Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) dan Jepun ialah Tuanku Said
Muhammad Said Muhammad Shahbuddin, Yaakub Ali, Suhaili Yaakub,
Salleh Tuaran dan Imam Jukrani.

Justeru, katanya tidak hairanlah penerima terawal Islam adalah
penduduk pesisir pantai dan dari kawasan itu juga semangat
kemerdekaan mula dibangkitkan golongan ulama, ahli sufi dan disusuli
pahlawan beragama Islam.

Sebenarnya, golongan ulama dan ahli sufi memulakan gerakan menuntut
kemerdekaan Borneo Utara sebaik penjajah bertapak di negeri itu pada
abad ke-18 dan perjuangan itu mencapai kejayaan pada 16 September
1963 hasil kebijaksanaan Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha
Datu Harun.

Ketokohan ulama dan ahli sufi mencetuskan penentangan berterusan
rakyat Sabah yang menonjolkan tokoh terbilang seperti Datu Paduka
Mat Salleh, Datu Tating, Datu Baginda Putih, Pengiran Syahbandar
Hassan, Pak Musa, Syarif Usman, Embo Ali dan Panglima Ali.

Kuasa penjajah mula bertapak di Borneo Utara pada 1761 apabila
pegawai Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) di Madras, India,
Alexander Dalrymple, mendarat di Pulau Balambangan, Kudat selepas
dibenarkan Sultan Sulu.

Bagi penduduk tempatan beragama Islam, penjajahan British adalah
cabaran dan ancaman terhadap nilai agama, bangsa dan tanah air yang
perlu ditentang.

Justeru, penentangan golongan ulama dan ahli sufi yang bermula
seawal kedatangan SHTI pada 1761 semakin membara selepas 14 tahun
penjajah bertapak di Borneo Utara.

Golongan itu meniupkan semangat anti British di kalangan rakyat
beragama Islam berikutan tindakan penjajah yang menyebarkan
Kristian, menindas rakyat dan merampas hasil bumi untuk memajukan
bumi asing.

Dr Muhidin berkata, dalam tempoh 135 tahun mulai 1775, lahir
pahlawan Islam terulung termasuk Mat Salleh, Syarif Usman dan Datu
Tating, disusuli Datu Baginda Putih, Pengiran Syahbandar Hassan, Pak
Saman dan Pak Musa.

"Masyarakat Islam turut menubuhkan persatuan pertama pada 1890-an
yang berjaya membangkit dan mengekalkan kesedaran terhadap Islam dan
kemerdekaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

"Walaupun penjajah gagal mengekang perkembangan Islam, mereka dapat
menyebarkan Kristian terutama kepada etnik Dusun, Murut dan Rungus
yang majoritinya menetap di pedalaman.

"Tekanan penjajah tidak melemahkan masyarakat Islam, sebaliknya
mereka berusaha membina masjid secara bergotong-royong dengan
bertiangkan kayu, berlantai papan dan berdinding kulit kayu seperti
di Kampung Panyambat (sekarang Kampung Laut) Papar pada 1890,"
katanya.

Prof Mohd Sarim Mustajab dari Universiti Malaysia Sabah (UMS)
berkata, penjajah berusaha keras mematahkan gerakan dakwah di Sabah
termasuk meluluskan undang-undang melarang pengislaman.

"Pada 15 April 1935, Dewan Undangan Negeri Borneo Utara yang
diterajui SBBUB meluluskan Ordinan Pentadbiran Kampung yang menyekat
gerakan dakwah Islam di kalangan penduduk pribumi bukan Islam di
pedalaman.

"Bagaimanapun, undang-undang itu tidak menghalang perkembangan
Islam, malah berkembang menerusi pengislaman oleh Pertubuhan Islam
Seluruh Sabah (Usia) yang turut bertapak di pedalaman," katanya.

INFO:


Islam dikesan bertapak di Sabah pada 1398 di Lahad Datu


Batu nisan masyarakat Islam pertama di Sabah ditemui pada 1408 di
Lahad Datu dipercayai makam Abdullah berketurunan Idahan.


Pada 21 Januari 1944, seramai 324 anggota Gerila Kinabalu dibunuh
oleh tentera Jepun di Petagas, Penampang termasuk pejuang Islam
berketurunan Bajau Ubian, Panglima Ali